SEORANG warga Kanada dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun pada Jumaat kerana cuba melakukan perjalanan ke luar negara untuk menyertai kumpulan militan Islamic State (IS).
Ismael Habib, 29, orang pertama yang didapati bersalah di mahkamah di bawah undang-undang yang mengharamkan rakyatnya daripada cuba meninggalkan Kanada untuk melakukan perbuatan pengganas.
“Ini bukan projek utopia atau tidak rasional bagi orang yang dimanipulasi. Ia dilakukan dengan pengetahuan yang sempurna tentang objektif IS dan kaedah yang digunakan,” kata Hakim Mahkamah Quebec, Serge Delisle.
“Pesalah itu melipatgandakan usahanya untuk masuk ke Syria bagi menyertai IS.
“Dia tidak merancang untuk pergi ke sana untuk memainkan peranan pasif. Dia bersedia melakukan apa sahaja untuk IS sehingga mati.”
Hakim menjatuhkan hukumannya selama lapan tahun kerana cuba meninggalkan Kanada di bawah undang-undang keganasan pada 2013, dan setahun kerana memberi maklumat palsu untuk mendapatkan pasport.
Selepas ditolak tempoh Habib ditahan semasa perbicaraan, dia akan menghabiskan masa enam setengah tahun di penjara.
“Ia adalah hukuman yang berat,” kata pendakwa Francois Blanchette kepada pemberita.
Beliau percaya “kepatuhan yang sangat kuat terhadap ideologi kumpulan (IS) Habib” adalah faktor bagi hukuman itu.
Bapa Habib adalah berketurunan Afghanistan, manakala ibunya warga Kanada. – AFP, 30 September, 2017.
Komen