Riza hadapi 5 tuduhan wang haram


Kalidevi Mogan Kumarappa

Riza Aziz yang merupakan pemilik syarikat penerbitan filem Red Granite Pictures itu akan didakwa menerima wang haram daripada Good Star Ltd, syarikat yang dikaitkan dengan Jho Low. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Julai, 2019.

ANAK tiri bekas perdana menteri Najib Razak, Riza Aziz dijangka menghadapi lima pertuduhan jenayah pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pagi ini.

Riza yang juga pemilik syarikat penerbitan filem Red Granite Pictures akan didakwa atas tuduhan menerima wang haram daripada Good Star Ltd, sebuah syarikat yang dikaitkan dengan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya mengesahkan Riza ditahan dan dibebaskan dengan jaminan.

“Dia akan dihadapkan ke mahkamah (pagi ini) mengikut Amla,” katanya, merujuk kepada Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.

Anak lelaki Rosmah Mansor daripada perkahwinan sebelumnya itu ditahan tengah hari semalam di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Riza, 43, yang mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang kewangan dan pernah menyambung pengajian di London School of Economics, sebelum ini disoal siasat empat kali oleh SPRM pada Julai tahun lalu.

Red Granite membayar AS$60 juta kepada Jabatan Kehakiman AS (DoJ) pada Mac tahun lalu untuk menyelesaikan tuntutan bagi penghasilan tiga filem menggunakan dana yang diperoleh daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Syarikat penerbit “The Wolf of Wall Street”, “Daddy’s Home” dan “Dumb and Dumber” itu dikehendaki menyelesaikan tunggakan AS$60 juta dengan tiga kali ansuran dalam masa 12 bulan dari Mac lalu.

Pihak berkuasa AS mendakwa syarikat itu menerima sejumlah AS$238 juta yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB.

DoJ percaya wang berkenaan dipindahkan ke akaun bank yang dikawal oleh Riza.

Riza didakwa menggunakan dana itu untuk membeli hartanah mewah daripada Low serta mengumpul poster filem edisi terhad.

Pada Mei lalu, Peguam Negara Tommy Thomas mengesahkan Malaysia telah menerima sebanyak RM236 juta dari Amerika, iaitu sebahagian daripada wang yang dilucuthak dari Red Granite Pictures.

Riza sebelum ini turut dinamakan dalam saman lucut hak ke atas aset bernilai RM680 juta yang difailkan oleh kerajaan Malaysia ke atas Najib dan Rosmah serta dua anak mereka iaitu Nooryana Najwa dan Norashman.

Riza merupakan individu ketiga dalam keluarga Najib yang dihadapkan ke mahkamah.

Najib sedang dibicarakan di mahkamah berhubung tujuh kes melibatkan duit RM42 juta yang masuk ke akaun peribadinya, iaitu sebahagian daripada keseluruhan lebih 40 pertuduhan yang dihadapinya.

Rosmah akan dibicarakan bermula Februari tahun depan atas jenayah rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan projek solar hibrid untuk sekolah di Sarawak. – 5 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen