Perlu daftar pengundi automatik sebab rakyat malas, kata Hadi


Mohd Farhan Darwis

Presiden PAS Abdul Hadi Awang setuju dengan cadangan pengundi berusia 18 tahun didaftarkan secara automatik kerana beranggapan rakyat Malaysia malas untuk daftar mengundi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Julai, 2019.

PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang setuju dengan cadangan pengundi berusia 18 tahun didaftarkan secara automatik kerana beranggapan rakyat Malaysia malas untuk daftar mengundi.

“Itu kita dah bincang, pembangkang dah bincang dan saya bersetuju untuk itu, tapi apa yang penting (pendaftaran) automatik sebab orang kita malas daftar undi,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini membentangkan pindaan Perlembagaan Persekutuan di Dewan Rakyat untuk menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Pembangkang semalam berkata mereka bersetuju dengan usul pindaan itu dengan syarat kerajaan memasukkan pendaftaran automatik dan had umur menjadi calon diturunkan kepada 18 tahun.

Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yakob berkata mereka juga membawa usul persendirian di Dewan Rakyat bagi meminda Perkara 47 dan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan untuk tujuan itu. 

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata sekiranya pindaan yang memerlukan dua majoriti sokongan ahli Parlimen itu berjaya, landskap politik negara dijangka akan mengalami perubahan.

Menurut ahli Parlimen Pekan itu, ini berikutan sukar untuk menjangkakan pemikiran generasi muda sekaligus menjadikan politik lebih rapuh.

“Sukar untuk kita jangka pemikiran generasi muda, mereka bergantung kepada kepada situasi, isu, isu semasa waktu itu. Namun ia menjadikan politik lebih sukar dijangka, mungkin lebih rapuh,” kata Najib ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata, generasi muda dalam lingkungan umur 18 tahun kebiasaannya tidak berapa matang.

“Pada pemerhatian saya, orang muda pada umur sebegitu lebih mudah terpengaruh, mereka tidak berapa matang, keduanya, sekolah akan menjadi medan pertarungan parti politik, yang mana tidak sihat, di universiti tidak mengapa, bukan sekolah,” katanya.

Namun, bekas presiden Umno itu berkata negara tidak boleh mengelak daripada trend antarabangsa yang mana umur 18 tahun adalah umur kebanyakan pengundi mereka. – 4 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen