Turun had umur mengundi ubah landskap politik negara, kata Najib


Mohd Farhan Darwis

Ini kerana sukar untuk menjangkakan pemikiran generasi muda sekaligus menjadikan politik lebih rapuh, kata Najib Razak. Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini membentangkan usul menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 4 Julai, 2019.

LANDSKAP politik negara dijangka akan mengalami perubahan dengan usul meminda had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, kata Najib Razak.

Bekas perdana menteri itu berkata, ini berikutan sukar untuk menjangkakan pemikiran generasi muda sekaligus menjadikan politik lebih rapuh.

“Sukar untuk kita jangka pemikiran generasi muda, mereka bergantung kepada kepada situasi, isu semasa waktu itu. Namun ia menjadikan politik lebih sukar dijangka, mungkin lebih rapuh,” kata Najib, ketika ditemui di Parlimen, hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, generasi muda dalam lingkungan umur 18 tahun kebiasaannya tidak berapa matang.

“Pada pemerhatian saya, orang muda pada umur sebegitu lebih mudah terpengaruh, mereka tidak berapa matang. Keduanya, sekolah akan menjadi medan pertarungan parti politik, yang mana tidak sihat, di universiti tidak mengapa…bukan sekolah,” katanya.

Namun, bekas presiden Umno itu berkata negara tidak boleh mengelak daripada trend antarabangsa yang mana umur 18 tahun adalah umur kebanyakan pengundi mereka.

“Kita akan sokong, hanya dengan disekalikan pengundian automatik,” kata Najib lagi. 

Sementara itu, Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata penurunan had umur mengundi itu juga tidak memberikan kelebihan kepada mana-mana parti politik.

“Tidak memberi kelebihan kepada mana-mana pihak, sebab saya percaya orang muda di Malaysia ini akan tunggu dan lihat siapa yang akan beri hala tuju yang baik kepada mereka, jadi tak timbul ini akan beri kelebihan kepada mana-mana pihak,” kata Khairy kepada pemberita di Parlimen.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini membentangkan usul menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama.

Usul itu memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan, yang mana dua pertiga majoriti ahli Parlimen perlu menyokongnya.

Pakatan Harapan (PH) memerlukan sokongan pembangkang memandangkan mereka tidak menguasai majoriti dua pertiga di Parlimen.

Pembangkang semalam menyatakan mereka sedia menyokong pindaan berkenaan dengan syarat kerajaan meminda umur calon layak mengundi kepada 18 tahun serentak dengan pengundian automatik. – 4 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen