SETIAUSAHA Agung Umno Annuar Musa enggan mengulas laporan mengatakan parti itu menjual 11.09% kepentingan dalam syarikat Media Prima Bhd kepada Syed Mokhtar Al-Bukhary.
Annuar bagaimanapun mengakui Umno sedang dalam proses penstrukturan semula portfolio pelaburan demi masa depan mereka.
“Kami dalam proses penstrukturan semula, kami melihat semula portfolio pelaburan kami, sebagai parti politik kami perlu merancang untuk masa depan.
“Banyak yang dilakukan dengan pelaburan kami, tapi saya tidak boleh berikan komen, ia sulit. Terpulang kepada mereka yang diberikan tugasan untuk tindakan susulan,” katanya, ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.
Ahli Parlimen Ketereh itu berkata urusan perniagaan Umno tidak boleh didedahkan kepada umum kerana ia turut melibatkan pemegang saham yang lain.
“Portfolio pelaburan kami adalah perkara dalaman kami dan melibatkan pemegang saham lain, kami terikat dengan peraturan dan tidak boleh buat kenyataan umum tanpa keperluan,” kata Annuar.
Semalam, memetik data Bloomberg, The Edge Financial Daily melaporkan transaksi saham itu membabitkan satu blok bernilai RM73.81 juta.
Umno mempunyai 123.02 juta unit saham dalam Media Prima melalui Gabungan Kesturi Sdn.
DRB-Hicom Bhd bagaimanapun semalam menafikan membeli 11% kepentingan dalam Media Prima.
Syarikat itu turut menafikan mengambil alih tambahan 8% saham dalam Media Prima yang dimiliki oleh Umno.
Syed Mokhtar merupakan pemegang saham terbesar DRB-Hicom dengan pegangan 55.9% melalui sebuah syarikat milik persendirian.
Beliau juga mempunyai kepentingan dalam syarikat media The Malaysian Reserve dan Utusan Melayu Berhad.
Pada 8 Februari lalu, Umno melepaskan pegangan saham sebanyak 31.6% dalam Utusan Melayu kepada Opulence Asia Sdn Bhd.
Opulence Asia Sdn Bhd ialah syarikat milik penuh Pengerusi Eksekutif Utusan Abd Aziz Sheikh Fadzir. – 4 Julai, 2019.
Komen