DAP gesa Richard Riot bercuti


Desmond Davidson

Setiausaha politik Menteri Sumber Manusia Richard Riot disiasat SPRM bagi kes penyelewengan dana RM40 juta Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK). – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 September, 2017.

DAP hari ini menyeru Menteri Sumber Manusia Richard Riot untuk bercuti dari tugas sementara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kes penyelewengan dana RM40 juta Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

Pengerusi cawangan DAP di Serian, Edward Andrew Luwak berkata ianya wajar memandangkan setiausaha politik Richard juga disiasat atas kehilangan dana itu.

Setiausaha politik Richard yang berusia 61 tahun dan merupakan pesara tentera, telah ditahan reman enam hari.

Dia ditahan Rabu lalu pada jam 12.30 di ibu pejabat SPRM di Putrajaya selepas memberi keterangan.

Richard juga telah dipanggil untuk memberi kenyataannya.

Edward yang dikalahkan Richard dalam PRU13 bagi kerusi Bidayuh Serian berkata, Richard akan mengganggu siasatan SPRM jika tidak bercuti.

Edward menyeru Richard supaya mengambil tindakan yang betul.

“Ambil cuti dan biarkan siasatan dijalankan tanpa sebarang gangguan.”

Richard juga menggesa orang ramai supaya tidak membuat andaian awal yang keenam-enam individu yang disiasat SPRM termasuk pembantunya bersalah.

Beliau berkata keenam-enam individu itu sedang disiasat dan tidak disabitkan kesalahan jenayah.

Ia menyedihkan kerana rakyat Malaysia mudah membuat andaian mereka yang ditahan memang sudah didapati bersalah, katanya.

Pemimpin-pemimpin Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang mendakwa ” sangat terkejut” dengan penahanan pembantu Richard, berkata mereka akan menunggu hasil siasatan.

Mereka berharap SPRM akan mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai penahanan itu.

Ketua Perhubungan SUPP Adam Yii berkata, demi kepentingan keadilan, seseorang yang ditahan tidak boleh dianggap bersalah.

Mereka perlu diberi peluang yang adil untuk memberitahu cerita dari pihak mereka, katanya.

Richard yang merupakan Ahli Parlimen Serian bagi enam penggal adalah orang bukan Cina pertama menjadi Timbalan Presiden SUPP.

Beliau dilantik bagi jawatan itu pada perhimpunan ulang tahun ketiga parti yang kontroversi pada 2011. – 29 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen