DAP Sarawak serah nama Najib untuk saringan SPRM


Desmond Davidson

(Dari kiri) Ahli Parlimen Bandar Kuching Chong Chieng Jen, Abdul Aziz Isa, Kelvin Yii dan Mordi Bimol bercakap kepada media selepas menyerahkan nama Perdana Menteri Najib Razak untuk disaring Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia cawangan Kuching, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 29 September 2017.

DAP Sarawak hari ini menyerahkan nama Najib Razak kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar perdana menteri itu disaring sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Nama Najib diserahkan ke pejabat SPRM Kuching oleh Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen, tiga pembantu khas – Kelvin Yii, Abdul Aziz Isa dan Mordi Bimol.

Aziz ditahan polis minggu lalu kerana didakwa menghina perdana menteri dalam posting di Facebook.

DAP juga mengemukakan cadangan bagi suruhanjaya itu agar mempunyai sistem penarafan bagi saringannya agar setiap calon dinilai pada skala 1 hingga 10, dengan 10 paling korup atau disabitkan dengan rasuah.

Parti itu berkata sistem seperti itu boleh membantu orang ramai membuat “keputusan lebih baik daripada analisis yang lebih terperinci, bukan hanya sistem ‘ya’ atau ‘tidak’.

Tindakan DAP itu susulan saranan Ketua SPRM Dzulkifli Ahmad kepada parti untuk menyerahkan nama calon PRU14 untuk diselidiki, bagi memastikan mereka “bersih, dan tidak dicemari rasuah dan penyalahgunaan kuasa”.

“Kami bertindak bagi pihak rakyat dengan menyerahkan nama Najib untuk diselidiki suruhanjaya itu,” kata Yii kepada pemberita semasa di pejabat agensi anti-rasuah di Jalan Laksamana Cheng Ho itu.

“Kami percaya orang yang terbaik dan paling utama yang harus diperiksa adalah, sudah tentu, perdana menteri sendiri. Menjadi pemimpin parti (Umno) menjadi jaminan beliau akan bertanding dalam pilihan raya akan datang.”

Yii berkata DAP “membantunya” dengan penyerahan itu, “bagi pihak rakyat yang ingin tahu bahawa perkara sedemikian bukan sekadar gimik politik bagi mencemarkan imej pembangkang”.

Dzulkifli sebelum ini mengatakan semua parti Barisan Nasional adalah satu-satunya yang telah mengemukakan nama pemimpin dan calon untuk disaring.

Bagaimanapun, Yii berkata tiada jaminan Najib akan menyerahkan atau menyertakan namanya sendiri dalam senarai calon BN.

“Adalah penting bagi SPRM mempamerkan sikap adilnya dan mengukuhkan persepsi orang ramai tentang kebebasan suruhanjaya itu untuk memeriksa bahkan perdana menteri, terutamanya sekarang dikelilingi pelbagai skandal kewangan antarabangsa, seperti skandal 1Malaysia Development Berhad, yang menjadikan Malaysia kleptokrasi global.”

Skandal 1MDB adalah skandal kewangan terbesar negara dalam sejarah, dan menjadi siasatan di Amerika Syarikat, United Kingdom, Singapura dan Switzerland.

Jabatan Kehakiman AS menyita AS$1.7 bilion dalam aset yang berkaitan dengan 1MDB di AS, UK dan Switzerland.

Beberapa individu yang dikaitkan dengan skandal itu telah disabitkan dan dipenjarakan.

Yii berkata tindak balas SPRM terhadap skandal itu akan “menghantar mesej yang jelas dan kuat kepada rakyat Malaysia dan dunia bahawa ia serius dalam memerangi rasuah”.

“Itulah sebabnya mengapa orang pertama yang perlu mereka saring, menentukan sama ada beliau bebas daripada rasuah dan tidak terlibat dengan penyalahgunaan kuasa, adalah perdana menteri sendiri.”

Pakatan Harapan sebelum ini telah menolak cadangan saringan, dengan presidennya, Dr Wan Azizah Wan Ismail, mengatakan pakatan akan menjalankan pemeriksaan calon sendiri.

SPRM menggesa parti semua calon disaring walaupun tiada keperluan undang-undang bagi mereka berbuat demikian. – 29 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen