TEMPAHAN melimpah masuk untuk perusahaan kecil dan sederhana (SME) di Malaysia kerana kesan perang perdagangan AS dan China tetapi wujud masalah dalam kolam bakat pekerja dan dasar sumber manusia negara.
Presiden Persatuan SME Malaysia Michael Kang berkata syarikat pelbagai sektor menyaksikan peningkatan tempahan dari AS dan China selepas kedua-dua kuasa besar ekonomi itu mula bertelagah tahun lepas.
“Saya diberitahu ahli yang syarikat dari AS dan China mula mencari rakan kerjasama di sini,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Ini termasuklah syarikat elektronik yang berpangkalan di Pulau Pinang. Malaysia mengeksport alat dan komponen elektronik ke China, yang digunakan untuk mengeluarkan telefon bimbit, komputer dan pelbagai produk lain, sebahagiannya turut dieksport ke AS.
Bagaimanapun, jika tarif tambahan AS menyebabkan penurunan pengeluaran produk China, maka permintaan kepada komponen juga akan terjejas.
Kesan lain perang perdagangan itu adalah syarikat Malaysia dihubungi untuk menjadi rakan kerjasama sama ada untuk syarikat China atau AS dan bertindak sebagai penghubung dalam pasaran, kata Kang.
“Saya diberitahu yang pengeluar produk plastik dari Pusat Perdagangan Hong Kong sedang mencari rakan di Malaysia, yang melaluinya akan menjual plastik ke AS.”
“Pengeluar AS juga datang ke Malaysia untuk mencari rakan perniagaan untuk eksport ke China.”
AS adalah pengimport utama jentera elektrik, peranti perubatan dan optik, getah, perabot dari Malaysia.
Tetapi, Kang memberi amaran yang dasar sumber manusia Malaysia yang wujud sekarang tidak bersedia berdepan situasi itu untuk jangka masa panjang.
“Dasar sumber manusia Malaysia tidak kondusif untuk syarikat asing seperti dasar di Vietnam dan Indonesia. Kerana itu kita makin hilang tarikan untuk industri intensif buruh yang mahu bertapak di rantau ini,” katanya. – 3 Julai, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen