Ahli perniagaan juga patut isytihar harta, kata Ku Li


Mohd Farhan Darwis

Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, satu undang-undang khusus perlu dibentuk bagi perisytiharan aset bagi membolehkan langkah lebih tegas diambil.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 2 Julai, 2019

TENGKU Razaleigh Hamzah mencadangkan agar perisytiharan harta tidak dihadkan hanya kepada ahli Parlimen, pegawai kerajaan, dan pegawai polis.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, langkah yang sama juga perlu dikenakan terhadap ahli perniagaan.

“Populasi kita lebih besar, kita juga kena siasat mereka yang sudah bersara juga. Lihat siapa yang bersalah.

“Laporan asing ada melaporkan banyak dana keluar daripada negara ini. Kita kena lihat semua ini dan apa yang boleh kita lakukan,” kata Tengku Razaleigh, ketika ditemui di Parlimen hari ini.

Beliau turut mencadangkan satu undang-undang khusus dibentuk bagi perisytiharan aset bagi membolehkan langkah lebih tegas diambil.

“Kalau mahu semua ahli Parlimen isytihar aset sebagai peraturan, perkenalkan satu undang-undang, sesiapa sahaja ahli Parlimen tertakluk untuk isytihar aset.

“Sebagai ahli Parlimen, kita isytihar apa yang kita ada dan tidak sembunyikan di belakang pemegang amanah. Itu tak betul. Mungkin kita khusus kepada pentadbir,” katanya.

Melalui undang-undang khusus itu katanya, mana-mana ahli Parlimen yang menyembunyikan harta dan aset mereka atas nama pemegang amanah dan individu lain boleh dikenakan tindakan.

“Peruntukan khas mungkin ada gambaran yang lebih jelas, harta dan aset yang bukan diletakkan di bawah nama peribadi tetapi diletakkan di bawah penama lain boleh dirampas”.

Menurutnya, sejak menyertai politik beliau tidak pernah gagal mengisytiharkan harta sama ada ketika berada di dalam atau di luar Kabinet.

“Saya isytihar aset secara sukarela, saya sentiasa isytihar aset semasa dan ketika bukan dalam Kabinet,” katanya.

Bantahan daripada ahli Parlimen pembangkang semalam katanya berpunca kerana mereka merasakan usul itu tidak berkesan.

Dewan Rakyat semalam menerima usul mewajibkan semua wakil rakyat mengisytiharkan harta mereka.

Perisytiharan itu kemudiannya boleh diakses oleh orang awam melalui laman web SPRM. – 2 Julai, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen