PAS tukar pendirian, sokong isytihar harta


Mohd Farhan Darwis

Timbalan presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS mengubah pendirian dalam isu pengisytiharan aset hari ini ekoran kritikan yang diterima kerana mendakwa pengisytiharan harta berkenana bertentangan dengan ajaran Islam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 2 Julai, 2019.

PAS mengubah pendirian dalam isu pengisytiharan aset hari ini ekoran kritikan yang diterima kerana mendakwa pengisytiharan harta berkenana bertentangan dengan ajaran Islam.

Timbalan presiden parti itu Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, semua ahli Parlimen PAS sedia mengisytiharkan aset mereka kerana parti Islam itu menyokong pembasmian rasuah.

“Kita ada tanggungjawab bukan hanya kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) tetapi Allah di akhirat untuk pastikan punca rezeki kita halal dan kita belanjakan di tempat yang halal 

“Bagi PAS kita tidak ada masalah, bila lulus kita mengalukan pihak kerajaan membuka kaunter untuk isytihar harta dan beri penerangan.

“Bila Parlimen lulus kita akan ikut keputusan, tak ada masalah (isytihar harta),” kata ahli Parlimen Kubang Kerian itu lagi.

Namun PAS berharap agar usul yang diluluskan semalam mencakupi ruang lebih besar dan dijadikan satu akta khusus.

“Bagi PAS pun kita tidak ada masalah untuk isytihar harta, cuma ia hanya usul, tidak perlu undi dua pertiga cuma bagi kita kenapa tidak jadikan akta? Kenapa hanya usul? 

“Kalau usul tidak kuat, lebih baik jadi akta di bawah SPRM jadi kita boleh ambil tindakan kalau ada orang yang tidak isytihar,” kata Tuan Ibrahim lagi.

Beliau semalam berkata PAS menolak kewajipan ahli Parlimen mengisytiharkan harta kerana mendakwa ia bertentangan dengan ajaran Islam.

Kenyataan Tuan Ibrahim yang memetik satu hadis itu menerima pelbagai kritikan, antaranya oleh Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin.

Mohd Asri berkata kenyataan tersebut menunjukkan PAS menyalahgunakan nama Nabi Muhammad dan tidak memahami hadis terbabit.

Tuan Ibrahim bagaimanapun hari ini mempertahankan kebimbangan parti itu bahawa maklumat dalam pengisytiharan aset berkenaan boleh memberi risiko kepada wakil rakyat dan keluarga mereka.

Jelasnya, pengistiharan itu akan memaksa ahli Parlimen mendedahkan maklumat isteri dan anak-anak.

Usul untuk mewajibkan pengisytiharan tersebut diterima sebulat suara oleh ahli Dewan Rakyat semalam walau ditentang oleh pembangkang.

Ia mewajibkan ahli Dewan Rakyat kerajaan dan pembangkang mengisytiharkan harta mereka termasuk isteri dan anak-anaka setiap dua tahun. β€“ 2 Julai, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen