Turki, Rusia pertahan kedaulatan Iraq


Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Rusia Vladimir Putin mengadakan sidang akhbar bersama di Ankara, semalam. – Gambar AFP, 29 September, 2017.

PRESIDEN Turki Recep Tayyip Erdogan berkata Turki dan Rusia bersama-sama pertahankan kedaulatan wilayah Iraq dan Syria, lapor agensi berita Xinhua.

“Kerajaan Wilayah Kurdistan (KRG) perlu dihalang daripada membuat kesilapan lebih buruk selepas pungutan suara kemerdekaan diadakan,” kata Erdogan pada sidang akhbar bersama Presiden Rusia Vladimir Putin semalam.

Beliau mengulas mengenai pungutan suara kemerdekaan yang dilaksanakan KRG baru-baru ini.

Pada Isnin, pengundi di kawasan wilayah Kurdistan termasuk di kawasan pertikaian antara Baghdad dan Erbil, mula mengundi dalam pungutan suara.

Keputusan rasmi dikeluarkan pada Rabu menunjukkan lebih 92% undian meluluskan hasrat wilayah itu untuk mendapatkan kemerdekaan dari Iraq.

“Kita perlu melindungi kerajaan pusat Iraq sebagai usaha membantu negara itu melindungi kedaulatannya,” katanya sambil menuding jari kepada pemimpin KRG Masoud Barzani yang dilihat bertindak demi “kepentingan dirinya.”

Menerusi kenyataan dikeluarkan Kementerian Luar Rusia, Putin berkata walaupun menghormati aspirasi KRG namun tegas beliau kedaulatan wilayah Iraq perlu dipelihara.

Pertemuan kedua-dua pemimpin di Ankara itu berlangsung hampir tiga jam, antara lain membincangkan perihal hubungan dua hala dan perkembangan serantau terkini terutamanya isu Syria serta Iraq.

Hubungan Turki-Rusia erat sejak kebelakangan ini, ekoran ketegangan hubungan Ankara dengan Amerika Syarikat dan Eropah kerana perbezaan pandangan mengenai hak asasi manusia, di tengah kritikan Barat mengenai tindakan keras Erdogan terhadap pembangkang selepas rampasan kuasa yang dilancarkan tahun lepas gagal. – Bernama, 29 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen