Pemimpin Kristian cemuh dakwaan cuba murtad orang Islam


Lionel Morais

Isteri Pastor Raymond Koh, Susanne Liew menyampaikan ucapan semasa perhimpunan vigil. Penculikan Koh didakwa mempunyai kaitan dengan cubaan memurtadkan orang Islam. –Gambar fail The Malaysian Insight, 13 April, 2017.

PEMIMPIN atasan Kristian hari ini mematahkan spekulasi empat aktivis sosial yang hilang cuba menyebarkan ajaran Kristian kepada orang Islam.

Setiausaha Agung Majlis Gereja Malaysia (CCM) Rev Dr Hermen Shastri berkata, jika terdapat bukti mereka cuba menukar agama orang Islam, terdapat undang-undang bersesuaian bagi menangani isu ini.

“Jika mereka melanggar undang-undang, tidak perlu melakukan penculikan di luar undang-undang, kerana Perlembagaan jelas menyatakan tindakan memurtadkan orang Islam bertentangan dengan undang-undang dan tindakan boleh diambil,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Hermen berkata beliau tidak tahu empat yang hilang – Pastor Raymond Koh, Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth, serta Amri Che Mat – secara peribadi tetapi menambah cubaan menyampaikan ajaran Kristian kepada orang Islam tidak dibenarkan oleh CCM. CCM adalah pertubuhan yang dianggotai beberapa gereja utama di Malaysia.

Kebanyakan gereja di negara ini menjalankan program kebajikan bagi membantu golongan miskin dan memerlukan. Mereka juga menubuhkan pusat bagi ibu tunggal, penagih dadah dan penghidap HIV.

“Sesiapa sahaja dialu-alukan. Ia terbuka kepada semua kaum. Kami melayan mereka dengan kasih sayang dan rasa hormat tetapi tidak cuba dan menukar agama mereka,” katanya.

Hermen berkata, beliau mengenali Peter Chong, bekas ahli Majlis Petaling Jaya yang dilaporkan hilang pada 9 April tetapi didapati pergi ke Thailand pada 7 April.

“Beliau sangat aktif dalam aktiviti sosial. Malah, beliau menawarkan untuk membantu menubuhkan kumpulan belia Kristian.

“Beliau adalah ahli gereja Methodist dan kerap menghadiri acara vigil yang diadakan untuk Koh.

“Saya bercakap dengan beliau minggu lepas dan tidak ada petunjuk beliau mempunyai masalah, kewangan atau sebaliknya.”

Hermen kemudian menghantar mesej WhatsApp kepada Chong tetapi tiada jawapan.

Terdahulu hari ini, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berkata, siasatan polis ke atas kehilangan Chong mendedahkan beliau pergi ke Thailand pada 7 April.

Beliau berkata polis mempunyai bukti dalam bentuk gambar dan maklumat dari pusat pemeriksaan Imigresen untuk menyokong dakwaan itu.

Ketua Polis turut mengatakan kemungkinan Chong melarikan diri kerana masalah hutang. Chong adalah bekas pembantu kepada Ahli Parlimen Subang Sivarasa Rasiah.

Khalid berkata, polis juga mengambil berat tentang empat yang hilang tetapi berkata hanya kes Koh dianggap sebagai penculikan.

Koh diculik di Petaling Jaya pada 13 Februari lalu oleh kira-kira 15 lelaki menaiki tiga SUV. Mereka memaksa kereta Honda Accord berwarna perak milik Koh berhenti sebelum memasukkannya ke dalam SUV. Kes itu mendapat perhatian apabila rakaman CCTV pendakwaan penculikan beliau menjadi viral.

Amri, aktivis sosial berusia 43 tahun dari Perlis, hilang pada 24 November, 2016. Beliau mengasaskan organisasi masyarakat sivil, Perlis Hope, yang menjaga golongan miskin dan memerlukan di Perlis.

Joshua dilaporkan hilang seminggu kemudian. Beliau pastor berketurunan Melayu dan bekas penganut Islam. Isterinya, Ruth, juga dipercayai hilang. – 14 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen