Ada individu menyamar kutip duit dari kontraktor, kata Maszlee


Mohd Farhan Darwis

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik gesa agar individu yang menyamar sebagai pegawainya itu dilaporkan kepada SPRM. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 1 Julai, 2019.

INDIVIDU yang menyamar sebagai pegawai Kementerian Pendidikan untuk mengutip dana perlu dilaporkan kepada agensi antirasuah, kata Menterinya Maszlee Malik.

Beliau menyeru demikian bagi mengulas dakwaan tindakan individu yang menyamar sebagai pegawai lantikannya untuk mengutip wang daripada kontraktor.

“Ada pihak tertentu mengaku sebagai pegawai saya, mengaku ketua setiausaha kementerian, setiausaha politik dan meminta kontraktor bayar wang untuk dapatkan tender. 

“Saya tahu KPM tidak pernah ada pegawai kutip duit daripada kontraktor. Kalau ada yang mengku sebagai pegawai lantikan saya dan meminta wang, lapor kepada polis dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

“Ambil gambar dan bukti, saya tidak pernah lantik pegawai untuk kutip duit daripada kontraktor. Itu salah, rasuah dan salah guna kuasa,” kata Maszlee kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.

Katanya beliau menerima laporan penipuan itu dilakukan terhadap kontraktor perbekalan kantin dan universiti dari beberapa negeri.

“Laporan diterima di merata tempat. Ada laporan diterima dari Johor, Sabah, Kedah dan, Perak, mereka minta daripada kontraktor bekalan kantin sekolah dan universiti,” kata Maszlee lagi.

Katanya lagi, beliau juga akan bertindak tegas terhadap pihak yang menyalahgunakan nama dan logo kementerian bagi penganjuran satu pertandingan tarian separuh bogel di Perak 

Beliau turut mengulangi kenyataan kementeriannya bahawa penganjur acara kontroversi itu menyalahguna logo kementerian pada bahan promosi program terbabit.

“KPM tidak pernah menganjur atau terlibat sebarang acara tarian separuh bogel.

“Kami tak pernah menaja dan akan ambil tindakan tegas terhadap pihak salah guna logo KPM untuk segala aktiviti bertentangan dengan apa yang di bawa KPM,” kata Maszlee.

Beliau turut merakam penghargaan ke atas pengguna media sosial yang menularkan isu pertandingan tarian separuh bogel itu sehingga tindakan dapat diambil.

“Terima kasih kepada pihak yang membawa perkara itu kepada pengetahuan KPM dengan menularkannya,” kata Maszlee lagi.

Dalam kenyataan hari ini, KPM mengumumkan penganjur tersebut Persatuan Tarian Malaysia Bersatu (Muda) tidak akan dibenarkan terlibat dengan mana-mana acara kementerian di masa akan datang.

Penganjur berkenaan semalam memohon maaf kerana mendakwa terlepas pandang syarat kod etika berpakaian untuk acara tersebut.

Ia melibatkan dua acara, Perak Muda Medalist Dancesport Competitions 2019 dan 7th Perak Show Dance Championships 2019 di Ipoh, pada Sabtu.

Gambar-gambar berkaitan pertandingan tersebut yang memaparkan peserta berpakaian mencolok mata tular di laman media sosial dan menerima kecaman daripada netizen. – 1 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen