Bila Umno kalahkan komunis?


SAYA berasa agak kelakar apabila Najib Razak dalam mesyuarat agung tahunan Umno Gombak berkata bahawa parti itu dulu mengalahkan komunis, takkan hari ini takut lawan Pakatan Harapan (PH). 

Saya harus memperbetulkan Najib dari segi fakta bahawa Parti Komunis Malaya (PKM) tidak pernah dikalahkan oleh Umno, malah satu perjanjian perdamaian bersama telah ditandatangani untuk menamatkan peperangan pada 1989. Nama perjanjian itu ialah Perjanjian Damai Hatyai yang ditandatangani antara PKM dengan kerajaan Malaysia pada 2 Disember 1989. 

Ketua rombongan Malaysia pada masa itu adalah Wan Sidek Wan Abdul Rahman selaku setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Mohd Hanif Omar selaku ketua polis negara dan Jeneral Hashim Mohd Ali selaku ketua turus Angkatan Tentera Malaysia. 

Perdana Menteri pada masa itu, tidak lain dari perdana menteri pada masa kini, iaitu Dr Mahathir Mohamad dan parti pemerintah yang membuat perjanjian dengan PKM pada masa itu adalah Barisan Nasional yang diketuai oleh Umno. 

Antara menteri kabinet 1989 ialah Najib yang pada masa itu selaku menteri belia dan sukan.

Ramai sejarawan dan pemimpin Umno sendiri yang telah mengakui peranan PKM dan parti kiri radikal di Malaya dalam mempercepatkan proses kemerdekaan daripada British.

Malah, Rahim Noor selaku perunding utama kerajaan Malaysia secara terbuka semasa Perjanjian Hatyai mengakui sumbangan PKM dalam perjuangan kemerdekaan. 

Pemimpin PKM seperti Abdullah CD, Rashid Maidin dan Suriani Abdullah pernah dijadikan tetamu oleh Sultan Perak, di samping menunaikan ibadah haji di Mekah atas kelolaan kerajaan Malaysia. 

Jika PKM dikalahkan Umno seperti yang didakwa oleh Najib, maksudnya PKM mengangkat bendera putih dan mereka semua menjadi tahanan perang, tetapi ini tidak berlaku.

Antara pemimpin Umno yang amat rapat dengan PKM ialah bekas timbalan presiden Umno dan juga timbalan perdana menteri Ghaffar Baba sendiri. Gambar beliau masih digantung di Muzium Rejimen ke-10, di Kampung Perdamaian di Sukhirin, Thailand.

Mengenai sejarah penentangan terhadap penjajah British pula, perjuangan ini telah dilakukan dengan beraninya oleh gabungan parti kiri radikal seperti Putera-AMCJA. 

Parti-parti kiri radikal pada masa itu adalah Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (Api), Angkatan Wanita Sedar (Awas), Gerakan Angkatan Muda (Geram), Barisan Tani SeMalaya (Batas), Hizbul Muslimin, Peta dan sebagainya.

Ramai antara pejuang-pejuang ini dibunuh, dipenjarakan atau dibuang negeri. Banyak organisasi dan kesatuan sekerja radikal dibubarkan. 

Sepanjang masa darurat itu, hanya satu parti politik yang dibenarkan beroperasi dan tidak dibubarkan, dan parti itu ialah Umno yang kemudiannya ianya diberi kemerdekaan oleh penjajah.

Umno diberi kemerdekaan oleh British kerana mereka tidak menuntut kemerdekaan seratus peratus seperti gabungan parti kiri. Malah, semasa Tanah Melayu mendapat kemerdekaan pada 1957, jawatan ketua polis negara dan panglima tentera kita masih dipegang oleh orang putih.

Oleh itu, mengatakan Umno kalahkan komunis adalah tidak tepat. Mengatakan Umno memainkan peranan utama dalam melawan British juga tidak tepat sekali. 

Umno memang harus diberi kredit kerana melawan Malayan Union. Namun, slogan Merdeka pertama kalinya diperkenalkan oleh PKMM dan parti pertama dibubarkan oleh British semasa Darurat 1948 bukannya PKM tetapi adalah Api di mana anggotanya rata-rata adalah orang Melayu.

Jadi, sejarah harus ditulis semula dan perjuangan kemerdekaan bukan monopoli Umno seratus peratus. – 1 Julai, 2019. AC

* S. Arutchelvan ialah ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen