PBB desak Myanmar henti kempen ketenteraan terhadap Rohingya


Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Antonio Guterres menggesa pihak berkuasa Myanmar menghentikan operasi ketenteraan, dan membenarkan akses kepada bantuan kemanusiaan. – Gambar AFP, 29 September, 2017.

SETIAUSAHA Agong Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menggesa Myanmar menghentikan kempen ketenteraannya terhadap Rohingya, beberapa jam selepas Aung San Suu Kyi gagal menghentikan bantahan antarabangsa terhadap krisis itu.

Berucap pada perhimpunan agung PBB, Guterres berkata beliau “ambil perhatian” terhadap janji Suu Kyi untuk mematuhi syor laporan PBB yang menasihatkan supaya Rohingya diberikan kewarganegaraan.

“Tetapi saya hendak jelaskan. Pihak berkuasa Myanmar perlu hentikan operasi ketenteraan, dan membenarkan akses kepada bantuan kemanusiaan,” katanya.

Hampir setengah juta Rohingya terpaksa melarikan diri daripada keganasan di Rakhine, di mana PBB menyifatkan ia sebagai “pembersihan etnik”.

Ketika menyampaikan ucapan di Myanmar, Suu Kyi bertegas mengatakan tentera hanya melakukan “operasi pembersihan” sebagai respons terhadap serangan dilakukan militan Rohingya dan ia berakhir pada 5 September.

Beliau juga menafikan Rakhine dibakar.

“Lebih 50% perkampungan Islam di situ masih utuh,” katanya.

Pemenang anugerah Nobel itu mendesak supaya dunia bersabar dan memahami krisis berlaku dalam negaranya yang “rapuh demokrasinya” dan berjanji untuk menyelesaikan isu pelarian.

Tetapi beliau tidak menyentuh mengenai kempen ketenteraannya.

“Kami terkejut dengan peningkatan dramatik dalam ketegangan yang berlaku di Rakhine,” kata Guterres di depan pemimpin dunia di PBB.

Dalam satu temu bual awal minggu ini, Guterres menggambarkan ucapan Suu Kyi itu sebagai “peluang terakhir” dan segera mengakhiri krisis keganasan itu.

Seramai 1.1 juta Rohingya menderita akibat diskriminasi di Myanmar, di mana mereka dinafikan hak kerakyatan meskipun sudah lama berakar umbi di negara itu. – AFP, 29 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen