MENTERI hal ehwal agama Islam Mujahid Yusof enggan melayan tuntutan pembangkang agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk memeriksa akaun Lembaga Tabung Haji.
Katanya, kebimbangan bahawa kerajaan Pakatan Harapan mengolah akaun lembaga itu hanyalah isu pembangkang dan bukan kebimbangan rakyat.
“Kebimbangan itu adalah kebimbangan pembangkang. Pihak yang memanipulasi TH bukan dari kerajaan ini,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab gesaan Annuar Musa (BN-Ketereh) yang menuntut suruhanjaya itu diadakan bagi menyiasat dakwaan manipulasi tersebut.
“Rakyat amat bimbang dan curiga,” kata Anwar yang turut dicelah wakil pembangkang lain dengan tuntutan serupa.
Pada sidang medianya selepas itu, Mujahid berkata tindakan pemulihan ke atas berjaya merekodkan penjimatan sebanyak RM58 juta dalam kos operasi pengurusan dan pentadbiran.
Jelasnya, sebanyak RM204 juta dibelanjakan untuk pengurusan dan pentadbiran pada suku pertama 2019 berbanding RM262 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
“Soal bilangan masih sama iaitu kita menguruskan 30,200 jemaah haji, sepatutnya dalam bilangan sama, kos kita naik tapi dengan penjimatan kita dapat jimat perbandingan pada masa dulu.
“Bilangan jemaah sama, dan sepatutnya peningkatan 10%, tetapi tak naik, usaha kita menjimatkan operasi terbukti berjaya,” kata Mujahid di lobi Parlimen.
Dalam jawapan lisan di Parlimen, Mujahid berkata, kedudukan kewangan TH mencatatkan prestasi yang mampan pada suku pertama 2019, hasil daripada kejayaan proses penstrukturan dan pemulihan yang dilaksanakan pada akhir Disember 2018.
Katanya, pada sukuk pertama 2019, TH telah memperoleh pendapatan berjumlah RM623 juta dan mencatat keuntungan bersih RM440 juta.
Pendapatan TH juga katanya dijangka akan terus meningkat mulai suku kedua dengan penerbitan sukuk oleh syarikat tujuan khas (SPV) yang akan memberi pulangan hampir RM800 juta setahun dan perlaksanaan proses pelarasan pelaburan baharu.
“Simpanan pendeposit di TH tidak menunjukkan pengeluaran yang luar biasa sehingga Jun 2019. Malah, keyakinan ini dilihat makin meningkat dan digambarkan melalui pertambahan bilangan pendeposit baharu dan jumlah simpanan yang konsisten,” katanya.
Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, antara langkah-langkah penjimatan yang telah dan sedang diambil oleh TH adalah membatalkan inisiatif yang kurang memberi manfaat dan berpotensi rendah seperti pelaburan di dalam mesin ATM.
TH juga katanya merunding semula kontrak-kontrak terdahulu supaya dapat memberi penjimatan yang optimum kepada TH terutamanya di dalam bidang pembekalan berkaitan infrastruktur teknologi maklumat yang menjimatkan RM 9.3 juta setahun.
Beliau berkata TH juga berjaya mengurangkan perbelanjaan mengurus seperti menguruskan kos pentadbiran dan perolehan di ibu pejabat TH dan semua cawangan TH seluruh Malaysia.
Ia akan dilakukan melalui pembelian secara pukal dibandingkan perolehan terus dari cawangan-cawangan TH yang menyaksikan penjimatan sebanyak RM2 juta setahun.
Penjimatan RM1.5 juta dapat dilihat dalam penganjuran sesuatu majlis dengan mengecilkan skala penganjuran.
Selain itu, TH juga mengadakan usahasama strategik dengan anak-anak syarikat TH serta rakan perniagaan TH yang baharu dan sedia ada, dan membuat pembiayaan semula kepada projek tertentu supaya dapat mengurangkan kadar kos kewangan kepada TH.
“Sebagai contoh, kadar pembiayaan sebanyak 3.7% kepada 1.9% bagi pembiyaan hartanah di London, di mana ia memberikan penjimatan sebanyak RM600 ribu setahun, dan meningkat dan menambahbaik program latihan kakitangan TH,” kat Mujahid lagi. – 1 Julai, 2019.
Komen