Tarik balik rayuan, Tian Chua ke penjara


Ahli Parlimen Batu Chua Tian Chang melambai ke arah penyokongnya semasa meninggalkan perkarangan Mahkamah Rayuan, Putrajaya pagi ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 29 September, 2017.

AHLI Parlimen Batu Chua Tian Chang akan menjalani hukuman penjara sebulan dan denda RM1,000 dalam sabitan kesnya berkaitan himpunan Bersih 3 pada 2012, selepas beliau menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan pagi ini.

Naib presiden PKR itu yang lebih dikenali sebagai Tian Chua berkata beliau sanggup dipenjarakan demi membangkitkan kesalahan dalam kerajaan.

Beliau didakwa melakukan kesalahan menceroboh “Kawasan Larangan” dan disabitkan bersalah oleh Mahkamah Sesyen pada Januari 2014, dan dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda.

Tetapi beliau bertegas mengatakan tuduhan dan sabitan itu mengarut kerana beliau dibawa ke kawasan larangan itu – Pusat Latihan Polis (Pulapol) – selepas ditahan kerana menyertai himpunan Bersih pada 28 April, 2012.

Peguamnya, Latheefa Koya menerusi Twitter berkata Tian Chua akan dipenjarakan sebulan susulan penarikan balik rayuannya itu.

Terdahulu, beliau membacakan kenyataan di kepada hakim di Mahkamah Rayuan yang mengumumkan keputusannya.

“Jika terpaksa ke penjara menjadi harga yang perlu saya bayar untuk mengubah sistem yang menindas dan korup, saya mengatakan saya lebih daripada bersedia untuk menerima.

“Pada masa sama, saya ingin tekankan saya ke penjara tidak bermakna saya mengaku bersalah. Sebenarnya, saya mahu mengetengahkan kesalahan kerajaan ini, dan saya gesa seluruh rakyat Malaysia agar tidak berasa takut dengan para penzalim ini.”

Beliau berkata demokrasi perlulah bertoleransi dengan perselisihan dan kerajaan yang berintegriti tidak akan menggunakan agensi penguatkuasa undang-undang untuk menentang perbezaan pandangan politik.

“Undang-undang dibuat untuk melindungi kesejahteraan rakyat dan memberi rakyat kebebasan, kesamarataan dan martabat.

“Sayangnya, undang-undang ini menjadi alat penindasan dan digunakan untuk menakut-nakutkan dan mendiamkan orang di bawah bayang ketakutan,” kata Tian Chua, yang melepaskan peguamnya awal hari ini. – 29 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen