Kerajaan guna kaedah lain ganti kad subsidi petrol, kata sumber


Lee Chi Leong

PUTRAJAYA merancang untuk mendepositkan wang secara terus ke akaun rakyat yang layak menerima subsidi petrol selepas idea penggunaan kad subsidi digugurkan, kata sumber kementerian.

Sumber itu berkata, usul baharu itu dijangka akan dibentangkan minggu depan pada mesyuarat Kabinet untuk kelulusan dan dijangka akan dilaksanakan di seluruh negara seawal hujung Julai.

Sumber itu memberitahu The Malaysian Insight bahawa mengikut usul baharu itu, penerima akan menyediakan akaun untuk menerima deposit subsidi selepas mereka membayar petrol pada harga biasa.

“Kementerian Kewangan bersetuju dengan cadangan ini, tetapi kita masih perlukan kelulusan Kabinet,” kata sumber itu.

Turut difahamkan Kementerian Kewangan sudah melantik vendor untuk menguruskan sistem kad subsidi tetapi akan menyelaraskan semula mekanisme subsidi untuk menampung sistem pembayaran secara terus kepada penerima.

“Jadi Kementerian Kewangan akan mengubah usul asal dan membawanya ke Kabinet. Sebaik saja diluluskan, dua kementerian akan mengadakan sidang media bersama untuk membuat pengumuman,” katanya.

Pada November tahun lalu, kerajaan mengumumkan subsidi petrol untuk golongan berpendapatan rendah dan Menteri Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution Ismail pada awalnya berkata mekanisme itu akan dimuktamadkan pada Februari tahun ini.

Tetapi tiada perkembangan berhubung perkara itu setakat ini.

Tidak dapat dipastikan juga sebab kerajaan mahu memperkenalkan skim bayaran langsung sedangkan kerajaan sudah bersedia untuk menggunakan sistem kad subsidi mengikut data penerima Bantuan Sara Hidup (BSH).

Kementerian Kewangan yang mengusulkan penggunaan kad subsidi manakala Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mahu wang subsidi dimasukkan ke bank akaun penerima. – 1 Julai, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen