Parti teliti lebih 4 calon ketua Umno Selangor, kata Mat Hasan


SM Amin

Mohamad menegaskan pengerusi perhubungan negeri yang akan dilantik itu nanti adalah dari kalangan ketua-ketua Umno bahagian, mengikut tradisi diamalkan Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Jun, 2019.

UMNO akan turut meneliti calon lain untuk mengetuai parti itu di Selangor selain daripada nama yang dicadangkan dari negeri itu, kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

Tanpa memaklumkan tarikh pelantikan itu akan diadakan, Mohamad berkata proses pelantikan tersebut perlu dilakukan dengan baik supaya keputusan itu tidak akan menjejaskan parti.

“Biarlah kita berunding, berpakat elok-elok. Walaupun sudah ada empat nama, tapi kita jangan terkongkong dengan empat nama berkenaan. 

“Kita bukan terima (nama lain) tetapi meneliti jika ada orang yang lebih layak daripada empat orang ini,” katanya dalam sidang media di Sepang hari ini.

Bagaimanapun, Mohamad menegaskan pengerusi perhubungan negeri yang akan dilantik itu nanti adalah dari kalangan ketua-ketua Umno bahagian, mengikut tradisi diamalkan Umno.

“Adab dan adatnya adalah pengerusi bahagian. Jangan hidup tidak beradat,” katanya.

Antara empat nama yang dikemukakan Mei lalu bagi jawatan tersebut antara tersebut adalah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Mat Nadzari Ahmad Dahlan.

Turut menawarkan diri adalah tiga ketua Umno bahagian, Johan Abdul Aziz (Semenyih), Megat Zulkarnain Omardin (Gombak) dan Noorazli Said (Sepang).

Ia bagi menggantikan Ismail Sabri Yaakob, naib presiden parti yang dilantik untuk menerajui Umno Selangor Julai tahun lalu.

Pelantikan Ismail Sabri itu bagi membolehkan parti menyusun struktur pentadbiran Umno negeri yang gagal memutuskan pemimpin baharu untuk jawatan berkenaan.

Ia ekoran keputusan pemilihan Umno Jun tahun lalu di Selangor yang menyaksikan 11 daripada 22 jawatan ketua bahagian dimenangi oleh muka baharu. 

Bekas menteri besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo juga antara nama yang dikatakan menawarkan diri untuk jawatan nombor satu di negeri Selangor.

Kes sama berlaku di dua negeri yang pada masa ini masih diketuai naib presiden Umno – Mahdzir Khalid di Terengganu) dan Mohamed Khaled Nordin di Perlis. – 30 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen