UMNO mempertahankan kenyataan dari pemimpin parti rakannya PAS yang mempromosi kewajipan menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan.
Timbalan presiden Umno Mohamad Hasan berkata kenyataan mewajibkan usaha mengguling kerajaan itu tidak salah kerana ia merupakan satu petunjuk kepada ahli PAS dan bukan satu hukum.
“PAS keluarkan fatwa begitu pada ahlinya, sebab pas ini ahlinya memerlukan petunjuk dari pemimpinnya, mereka walak kepada pemimpin,” kata Mohamad di Sepang hari ini.
Tegasnya, fatwa itu hanyalah petunjuk dan bukan satu hukum.
“Bila dah keluar kenyataan begitu, fatwa ini jangan salah faham, fatwa adalah petunjuk bukan hukum. Fatwa adalah petunjuk, jangan bila baca fatwa macam satu hukum, ia adalah petunjuk,” katanya.
Ditanya sekiranya fatwa tersebut tidak terpakai kepada Umno, Mohamad berkata parti tersebut tidak semestinya perlu mengikut cara PAS.
“Bukan kata tidak terpakai pada Umno, kita cuma bekerjasama. Tidak semestinya apa yang PAS buat kita kena ikut. Tidak sampai ke tahap itu. Tahapnya adalah bekerjasama menyusun strategi.”
Beliau mengulas kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS, Nik Muhammad Zawawi Salleh bahawa ahli parti itu wajib menjatuhkan kerajaan PH.
Dalam ucapan di muktamar PAS minggu lalu, Zawawi berkata matlamat itu akan dicapai menerusi kerjasama dengan Umno serta parti politik bukan Islam yang tidak ekstrem.
Fatwa itu diselar Presiden Amanah Mohamad Sabu yang menyifatkannya sebagai satu perkembangan tidak sihat kerana menggunakan agama untuk kepentingan politik.
Sekurang-kurangnya, sepuluh NGO membuat laporan polis ke atas Nik Muhammmad Zawawi atas dakwaan menimbulkan provokasi dan menggunakan hukum agama untuk kepentingan politik. – 30 Jun, 2019.
Komen
Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Ravinder Singh · Ulasan