AMERIKA Syarikat (AS) menggesa badan dunia mengambil tindakan ke atas tentera Myanmar susulan kekejaman yang dilakukan terhadap etnik Rohingya di negara itu.
Duta AS Nikki Haley ketika berucap pada Persidangan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, pertumpahan darah di Myanmar sesuatu yang memalukan kerajaan Aung San Suu Kyi.
“Kita tidak perlu takut untuk mengambil tindakan terhadap pihak berkuasa Myanmar berhubung tindakan mereka yang tidak ubah seperti kempen keganasan dan berterusan melakukan pembersihan etnik minoriti.
“Pemimpin kanan Myanmar seharusnya malu kerana sekian lama berjuang untuk menjadikan Myanmar sebuah negara terbuka dan demokratik,” kata Haley.
Beliau berkata sudah tiba masanya tindakan diambil kerana waktu untuk tindakan diplomatik sudah berakhir.
Katanya, sekarang masanya untuk mempertimbangkan tindakan terhadap tentera Myanmar yang terbabit dengan penyalahgunaan kuasa dan menanam kebencian di kalangan rakyat mereka.
Sejak 25 Ogos lalu, hampir setengah juta etnik Rohingya melarikan diri dari Rakhine ke negara jiran, Bangladesh sebaik saja tentera Myanmar memulakan kempen keganasan. – AFP, 29 September, 2017.
Komen