SYARIKAT penerbangan Malaysia Airlines Bhd (MAS) perlu kekal diuruskan oleh kerajaan, kata bekas perdana menteri Najib Razak.
Beliau menolak cadangan dari penasihat Dr Mahathir Mohamad agar syarikat itu digabungkan dengan syarikat tambang murah AirAsia Group Bhd (AirAsia).
“Sepengetahuan saya, MAS di bawah Khazanah milik kerajaan dan kita dahulu mempunyai perancangan untuk memulihkan MAS.
“Saya rasa MAS seharusnya terus diurus oleh kerajaan,” kata Najib kepada pemberita di Gombak hari ini.
Beliau mengulas cadangan daripada penasihat media dan komunikasi di Pejabat Perdana Menteri A Kadir Jasin yang berpendapat AirAsia mampu menyalamatkan MAS daripada berkubur.
Kadir berkata AirAsia mampu berbuat demikian sekiranya dapat mengendalikan kedua-dua syarikat penerbangan tambang penuh dan rendah pada masa sama.
Di bawah pentadbiran Najib, MAS melancarkan program pelan pemulihan lima tahun Malaysia dengan suntikan dana berjumlah RM6 bilion.
Khazanah yang mengambil alih syarikat tersebut mengalami rosot nilai berjumlah RM7.3 bilion tahun lalu, yang sebahagian besarnya disumbangkan oleh MAS.
Susulan itu, beberapa penganalisis melihat MAS perlu dijual atau ditutup kerana masih tidak dapat berdiri sendiri walau selepas dijadikan syarikat persendirian pada 2014. – 30 Jun, 2019.
Komen