MANTAN presiden Umno Najib Razak merayu ahli parti itu supaya tidak membiarkan beliau keseorangan dalam mempertahankan dasar serta tindakan kerajaan pimpinannya sebelum ini.
Najib yang kini didakwa dengan tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram turut merayu agar ahli parti menentang Pakatan Harapan yang disifatkannya sebagai kerajaan zalim.
Bekas perdana menteri itu berkata, beliau tidak meminta supaya ahli Umno menentang dengan mengadakan demonstrasi jalanan tetapi cukup dengan mempertahankannya di media sosial.
“Kita mesti lawan kezaliman, ini kerajaan zalim. Jangan takut kerana kita di pihak yang benar.
“Jangan biarkan saya berjuang keseorangan, lawanlah. Saya tidak minta berguling di tengah jalan. Di media sosial pun sudah cukup,” katanya.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata beliau hanya dapat berharap kepada ahli parti itu kerana tiada lagi pahlawan siber untuk mempertahankan dasar-dasar kerajaan yang dibuatnya sebelum ini.
Beliau juga berharap penyokong PAS yang digelarkannya sebagai “rakan baju hijau” akan turut mempertahankan beliau.
“Saya tidak ada cybertrooper sekarang. Cuma saya ada rakyat yang mempertahankan apa yang saya lakukan.
“Kalau rakyat bersama kita, apa yang kita harapkan untuk Gombak, saya nampak cerah masa depan kita. Apatah lagi sudah ada rakan-rakan ‘baju hijau’ bersama kita,” katanya.
Dalam ucapan di mesyuarat Umno bahagian Gombak hari ini, Najib menyatakan keyakinannya bahawa kejayaan hanya dapat dikecapi sekiranya orang Melayu membentuk satu gerakan yang besar.
Beliau memberi contoh, gerakan Melayu yang berjuang secara terpisah seperti Tok Janggut dan Rosli Dhobi yang menurutnya tidak berjaya kerana tidak membentuk barisan yang bersatu
“Mereka melawan dalam kelompok yang kecil, mereka mudah ditewaskan. Tetapi apabila Melayu bangkit atas nama Umno, British tewas ditangan kita.
“Kita lawan komunis, kita menang. Tiada mana-mana kerajaan yang menang melawan komunis,” ujarnya dala ucapan di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin di Gombak, hari ini. – 30 Jun, 2019.
Komen