'Bar ribbon' dan lencana pangkat bukan pingat, kata Latheefa


Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Latheefa Koya berkata, usaha memerangi rasuah harus diutamakan berbanding lencana pangkat, “bar ribbon” dan pemakaian seragam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Jun, 2019.

USAHA memerangi rasuah lebih mustahak daripada lencana pangkat dan pemakaian seragam, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya.

Katanya, keutamaan beliau kini ialah pada tugasnya mengetuai agensi anti rasuah dan bukannya pada pakaian seragam jawatannya.

“Secara telus saya mengaku, saya baru sahaja mempelajari berkenaan lencana pangkat, bar ribbon dan pemakaian seragam. 

“Prioriti segera saya sejak mengambil alih tugas adalah melibatkan beberapa kes rasuah yang serius dan bukanlah butiran pemakaian seragam saya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Latheefa mengulas kritikan terhadapnya terkait seragam yang beliau pakai dalam satu majlis rasmi SPRM di Banting, pada Khamis.

Menurut Latheefa, riben lintang yang beliau pakai pada seragamnya adalah berdasarkan Perintah Tetap Ketua Pesuruhjaya SPRM yang dikeluarkan pada 2012.

“Bar Ribbon ini tidak harus dikelirukan dengan pingat atau darjah kebesaran yang dikurniakan dari pihak Istana, samada di peringkat Persekutuan mahupun di peringkat Negeri,” katanya.

Perintah tetap juga mensyaratkan ketua pesuruhjaya SPRM memakai lencana pangkat yang ditetapkan, tambahnya.

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa semalam meminta SPRM memperincikan bintang kebesaran yang dipakai Latheefa pada seragam rasmi agensi itu semasa satu majlis perbarisan tamat latihan kursus asas pegawainya.

“Mungkin atas prinsip integrity, accountability dan transparency badan yang penting ini, SPRM boleh perincikan bintang kebesaran KP SPRM yang beliau pakai pada pakaian rasmi SPRM,” tulis Annuar di Twitter semalam.

Annuar membuat gesaan itu sebagai mengulas satu tweet yang mempersoalkan seragam Latheefa. 

Latheefa yang dilantik menggantikan Mohd Shukri Abdull awal bulan ini juga dikecam dan diperlekehkan di media sosial berhubung seragamnya itu. – 29 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen