14 mati bot bawa pelarian Rohingya terbalik 


Sekurang-kurangnya 10 kanak-kanak dan empat wanita terbunuh apabila sebuah bot membawa pelarian Rohingya terbalik di Bangladesh. – Gambar AFP, 28 September, 2017.

SEKURANG-kurangnya 10 kanak-kanak dan empat wanita terbunuh apabila sebuah bot membawa pelarian Rohingya terbalik di laut Bangladesh hari ini, kata polis.

Menurut saksi dan mangsa yang terselamat, bot itu terbalik hanya beberapa kilometer dari pantai selepas dikatakan melanggar objek di bawah air lalu terbelah kepada dua.

“Mereka lemas di depan mata kami. Beberapa minit kemudian, mayat dihanyutkan ke pantai,” kata seorang peniaga tempatan, Mohamad Sohel.

Seorang mangsa yang terselamat berkata dia bertolak ke Bangladesh semalam dari sebuah kampung di Myanmar bersama isterinya yang terbunuh dalam kejadian bot terbalik itu. Seorang anak mereka juga terbunuh.

“Bot melanggar sesuatu kerana ia terlalu hampir dengan pantai kemudian terbalik,” kata Nurus Salam kepada AFP.

Kira-kira 120 Rohingya yang kebanyakannya adalah kanak-kanak lemas ketika menghampiri Bangladesh menaiki bot-bot kecil nelayan. Bot-bot itu tidak dapat menampung muatan mengharungi laut yang bergelora.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan kira-kira 480,000 Rohingya melarikan diri dari keganasan di Rakhine berikutan serangan militan Rohingya ke atas balai-balai polis sehingga memaksa pihak tentera mengenakan kekerasan.

Pegawai polis tempatan memberitahu setakat ini 14 mayat telah dihanyutkan ke pantai dan dikhuatiri jumlahnya akan meningkat. – AFP, 28 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen