NAJIB Razak mendedahkan Ahli Parlimen Jeli, Mustapa Mohamed merupakan antara pemimpin Umno yang paling banyak mendapat kelulusan projek ketika beliau menerajui kerajaan dan parti.
Mantan perdana menteri itu berkata, beliau meluluskan projek tersebut termasuk melibatkan tender terhad demi kesejahteraan penduduk Jeli dan Kelantan.
“Ambo (Saya) hendak gambarkan bahawa Tok Pa (Mustapa) lah antara pemimpin, menteri yang banyak hulur surat dekat ambo… surat cinta, surat minta projek, surat minta tender terhad dan sebagainya.
“Banyak ambo lulus kerana untuk orang Jeli dan negeri Kelantan,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Jeli, di Jeli, Kelantan, hari ini.
Minggu lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengumumkan tindakan mahkamah untuk melucutkan hak sivil 41 individu dan entiti ke atas sejumlah wang yang diberikan oleh Najib, yang didakwa adalah duit dari 1Malaysia Development Berhad.
SPRM menuntut 41 pihak itu mengembalikan wang yang mereka terima untuk mengelak tindakan di bawah undang-undang anti pengubahan wang haram.
Badan anti rasuah itu juga berkata sebahagian besar daripada RM270 juta itu disalurkan ke bahagian dan cawangan Umno, termasuk Umno Kelantan yang diketuai oleh Mustapa sebelum ini.
Susulan tindakan SPRM itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Bung Mokhtar Radin mempersoalkan kenapa nama Mustapa tiada dalam senarai yang didedahkan agensi anti rasuah itu, dan adakah kerana bekas menteri Kabinet itu sudah menyertai Bersatu.
Dalam ucapan yang sama, Najib turut meluahkan rasa kecewa dengan tindakan bekas menteri kabinetnya itu keluar Umno dan masuk Bersatu.
Beliau yang menyifatkan Mustapa sebagai “orang kesayangan”, berkata bekas menteri itu sudah lupa dengan prinsip perjuangan Umno yang selama ini mengangkatnya sebagai menteri Kabinet dan juga ketua Umno Kelantan.

“Adakah ini balasan dia? Bila nak lompat di tengah-tengah malam, sikitpun tak cakap ke ambo. Tak ada apa-apa signal (isyarat) pun. Tiba-tiba guruh di langit. Ambo tahu dalam akhbar saja, Tok Pa dah lari tengah malam,” katanya.
Bagaimanapun kata Najib, beliau tidak melihat tindakan Mustapa itu akan menjejaskan Umno sebaliknya yakin parti masih mempunyai kekuatan yang utuh di Jeli.
“Tidak mengapa seorang pemimpin lari sebab barisan kita yang ada di sini, di kampung masih teguh untuk teruskan wadah perjuangan Umno.
“Sehingga hari ini balik Jeli, panas punggungnya. Hendak pergi kenduri, masjid pun fikir sambutan rakyat macam mana,” katanya.
Mustapa adalah ahli Parlimen Jeli selama lima penggal sejak 1995, kalah hanya sekali pada 1999. Beliau juga adalah wakil rakyat kerusi negeri Air Lanas tiga penggal 2004, 2013 dan sekarang. – 28 Jun, 2019.
Komen