MANTAN perdana menteri Najib Razak menggariskan formula tiga serampang untuk Umno kembali berkuasa di Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.
Katanya, untuk menang pilihan raya umum akan datang, Umno memerlukan pemimpin dan ahli yang setia pada perjuangan parti serta tidak gentar dengan tekanan yang diberikan oleh Pakatan Harapan (PH).
Umno juga akan berjaya hasil kerjasama dengan PAS selain usaha memperkuatkan parti termasuk melalui kempen “Malu Apa, Bossku” yang beliau sendiri gerakkan bagi mendekati rakyat, katanya.
“Kalau kita rapatkan barisan kita, percaya dengan penyatuan Umno dan PAS, kita perkuatkan Umno dan saya gerakkan gelombang ‘bossku’... tiga penjuru ini akan menjadi gelombang besar yang akan mengangkat Umno dan PAS ke Putrajaya pada PRU15 akan datang.
“Yakinlah… ini pilihan terbaik untuk kita,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Jeli, di Kelantan, hari ini.
Dalam PRU14 setahun lalu, Barisan Nasional buat pertama kali dalam sejarah politik Malaysia tewas apabila hanya mendapat 79 kerusi Parlimen daripada 222 kerusi yang dipertandingkan.
Umno yang menang 54 kerusi Parlimen ketika itu, kini hanya tinggal 37 kerusi selepas 17 ahli parlimennya keluar parti termasuk ahli Parlimen Jeli, Mustapa Mohamed.
Menurut Najib, kegagalan parti terbesar orang Melayu itu mempertahankan kerajaan Persekutuan yang diterajui lebih daripada 60 tahun menyebabkan nasib orang Melayu semakin ditindas.
Oleh itu, beliau menyeru kepada pemimpin dan ahli Umno supaya bangkit melawan kerajaan PH yang disifatkannya sebagai zalim.
“Dalam Perhimpunan Agung Umno lima tahun lalu, saya sudah kata kalau Umno kalah, saya katakan akan terbangsat bangsa Melayu. Hari ini bibit-bibit itu sudah nampak,” katanya.
Jelas beliau, perjuangan Umno bukan untuk pemimpinnya tetapi untuk orang Melayu.
“Jadi sedarlah kita. Ini bukan soal Najib, Zahid (presiden Ahmad Zahid Hamidi), Mat Hasan (timbalan presiden Mohamad Hasan) atau Tok Pa (Mustapa). Ini soal bangsa dan agama.
“Kita lawan… jangan takut… sebab PH parti yang zalim. Kalau kerajaan zalim, apa kita hendak buat? Lawan. Kalau hendak saman, samanlah. Kita ada peguam kita,” ujarnya.
Tambah Najib, beliau yakin Umno akan dapat merampas semula semua kerusi Parlimen yang mana ahli Parlimen tersebut semua keluar parti kerana Umno di pihak yang benar.
“Seorang dua katak terjun waktu malam, tidak apa. Kita akan salai katak-katak ini. Lawan tetap lawan. Kita parti yang berani lawan.
“Jangan takut, jangan bacul. Allah akan beri kemenangan kepada kita kerana kita dipihak yang benar,” ujarnya. – 28 Jun, 2019.
Komen