KERAJAAN akan membawa usul ke Parlimen mewajibkan semua ahli Parlimen tanpa mengira parti mengisytiharkan harta mereka, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
The Malaysian Insight difahamkan wakil kerajaan akan mengemukakan usul berkenaan Isnin ini apabila Dewan Rakyat mula bersidang sehingga 18 Julai.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight, usul berkenaan akan mewajibkan ahli Parlimen mengisytiharkan harta kepada Speaker dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut perdana enteri, perisytiharan wajib itu boleh mengekang mana-mana ahli Parlimen daripada menggunakan kedudukan dan pengaruh untuk menompokkan kekayaan.
“Itu sepatutnya, semua akan isytihar harta mereka kerana pembangkang pun ada pengaruh, jadi kita tidak harus guna pengaruh kita untuk mendapat bayaran.
“Kita akan bawalah (sesi sidang Dewan Rakyat kali ini), sama ada lulus atau tidak lulus itu soal lainlah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran 10 tahun adiwira Marvel Studios di Kuala Lumpur, hari ini.
Buat masa ini hanya ahli Parlimen Pakatan Harapan yang dikehendaki mengisytiharkan aset dan pendapatan mereka kepada SPRM.
Semakan di laman web SPRM menunjukkan setakat ini masih ada 11 Ahli Parlimen kerajaan yang belum mengisytiharkan harta mereka, sementara 124 sudah berbuat demikian.
Laman web itu menyenaraikan Ahli Parlimen Segamat Dr Edmund R Santhara Kumar sebagai ahli parlimen paling kaya berdasarkan perisytiharan harta kepada SPRM. Harta beliau dan isterinya berjumlah lebih RM132 juta.
Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham di tangga kedua dengan harta berjumlah RM77 juta.
Dr Mahathir di tempat ketiga dengan harta berjumlah RM32.3 juta.
Perisytiharan harta ahli Parlimen adalah sebahagian daripada pelan besar kerajaan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan melawan rasuah melalui Pelan Nasional Anti Rasuah yang dilancarkan Januari lalu.
Pada Mei lalu, semasa mengumumkan syarat perisytiharan harta akan diwajibkan kepada semua ahli Parlimen, Dr Mahathir tidak menolak kemungkinan ia juga akan diluaskan meliputi ahli keluarga mereka.
Beliau juga mahu aspek ini menjadi antara petunjuk prestasi utama ahli Jemaah Menterinya.
Media sebelum ini melaporkan SPRM bercadang memperkenalkan satu peruntukan undang-undang di bawah aktanya untuk mewajibkan ahli Parlimen mengisytiharkan harta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu Mohd Shukri Abdull dipetik berkata peraturan itu mahu dikuatkuasakan tiga bulan selepas seseorang ahli Parlimen angkat sumpah jawatan. – 27 Jun, 2019.
Komen