12 anggota pasukan keselamatan terbunuh dalam serangan di Kandahar


Anggota tentera NATO memeriksa serpihan kenderaan yang digunakan dalam serangan bom bunuh diri yang mengorbankan 12 anggota pasukan keselamatan di daerah Maroof, selatan Kandahar.– Gambar EPA, 28 September, 2017.

SEKURANG-kurangnya 12 anggota pasukan keselamatan Afghanistan terbunuh dalam serangan penyerang bunuh diri yang memandu sebuah kenderaan dipenuhi bahan letupan sebelum bertindak meletupkannya di wilayah selatan Kandahar, kata polis pada Khamis. 

Taliban mendakwa mereka merupakan dalang di sebalik serangan terhadap kerajaan dan ibu pejabat polis di daerah Maroof yang turut mencederakan beberapa yang lain. 

“12 anggota pasukan keselamatan terbunuh dan empat lagi cedera,” kata jurucakap polis Kandahar Zia Durrani kepada AFP. 

Durrani berkata penyerang Taliban sudah “ditewaskan”.

Penguasa polis sempadan di Maroof, yang bersempadan dengan Pakistan memberitahu AFP, 14 anggota keselamatan terbunuh manakala lapan lagi cedera dalam serangan yang berlaku pada lewat Rabu. 

“Kekuatan letupan itu menyebabkan kerosakan bangunan serta membawa kepada kemalangan jiwa,” katanya. 

“Operasi pembersihan kini giat dijalankan di kawasan terbabit.”

Serangan itu merupakan serangan terbaharu Taliban, yang aktif melancarkan serangan selepas tentera NATO dikeluarkan pada 2014 dan kini menguasai kawasan pendalaman di negara itu. 

Ketika lawatan berprofil tinggi Setiausaha Pertahanan Jim Mattis dan ketua NATO jeneral Stoltenberg ke ibu negara Afghanistan, Kabul pada Rabu, pemberontak melancarkan serangan roket berhampiran lapangan terbang antarabangsa di bandar itu. 

Serangan udara yang dilancarkan oleh pasukan keselamatan sokongan Afghanistan berdepan dengan penyerang menyebabkan “kemalangan jiwa” selepas peluru berpandu mengalami kerosakan teknikal. 

Seorang dilaporkan terbunuh manakala 11 lagi cedera dalam serangan yang berlarutan selama beberapa jam, menurut kementerian dalam negeri. – AFP, 28 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen