Dr Mahathir tegur peneroka Felda urus tanah sendiri


SM Amin

Tindakan peneroka mahu mengurus sendiri tanah mereka secara berasingan menyebabkan pengurusan tanah jadi tidak cekap sehingga menjejaskan pendapatan peneroka, kata perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Jun, 2019

KERAJAAN sukar membantu peneroka Felda meningkatkan pendapatan mereka secara menyeluruh kerana ada segelintir peneroka yang tidak mahu agensi itu menguruskan tanah rancangan, kata Perdana Menteri Dr Mahathir.

Tindakan peneroka mahu mengurus sendiri tanah mereka secara berasingan menyebabkan pengurusan tanah jadi tidak cekap sehingga menjejaskan pendapatan peneroka, katanya.

“Itu tersilap. Kita cadang membuat estet besar yang mana dalam estet besar itu setiap orang peneroka akan memiliki 10 ekar tanah. Kalau 1,000 ekar ada 100 orang.

“Tetapi saya dapati bahawa ini tidak dilakukan. Masing-masing peneroka mengurus estetnya sendiri yang 10 ekar. Ia tak cekap dan tidak ada modal. Kena ada modal juga kalau nak urus estet.

“Apabila diurus sebagai estet kecil 10 ekar seorang peneroka, itulah yang menyebabkan pendapatan mereka rendah,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) di Putrajaya, hari ini.

Pada Julai 2017, terdapat 17,679 peneroka yang tidak bersama Felda daripada keseluruhan 112,000 peneroka di seluruh negara.

Bagaimanapun, jumlah tersebut turun kepada sekitar 7,000 peneroka pada Januari tahun lalu.

Jumlah itu turun setelah kerajaan memberi peluang kepada mereka untuk kembali kepada agensi tersebut antara Ogos 2017 hingga Januari 2018, bagi membolehkan mereka menerima enam insentif untuk peneroka Felda.

Mengulas lanjut perkara itu, Dr. Mahathir berkata sudah tiba masanya pemilik tanah pertanian mempertimbangkan untuk menggabungkan tanah milik mereka untuk diuruskan secara profesional.

Beliau juga meminta supaya pemilik tanah tidak hanya fokus kepada satu-satu tanaman, sebaliknya beralih kepada tanaman campuran.

“Kita mesti mempunyai gabungan ladang-ladang besar bercampur dengan beberapa tanaman lain dan diuruskan oleh profesional. Petani sendiri tak boleh. Kita memerlukan pakar untuk menghasilkannya.

“Kita mahu mereka dapat menjana kewangan sendiri supaya mereka dapat memiliki rumah sendiri,” katanya.

Bagi merealisasikan idea tersebut, Dr Mahathir berkata kerajaan akan mengenal pasti kawasan-kawasan yang boleh dicantum dan diurus sebagai estet.

“Sepertimana kita tahu estet getah umpamanya. Yang estet besar kawasannya tak luas, satu pertiga sahaja. Estet kecil (smallholders) dua pertiga lebih luas.

“Tetapi kawasan estet mengeluarkan lebih banyak getah daripada smallholders dan kita perlu jadikan smallholders sebagai estet, cantumkan mereka. Ini termasuk padi, getah dan kelapa sawit.

“Kita akan laksanakan… mungkin kita akan pilih satu kawasan untuk jadi contoh pada yang lain,” ujarnya. – 27 Jun, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen