BERSATU tidak akan menangguhkan pemilihan parti yang sepatutnya dilaksanakan pada tahun ini, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Beliau yang juga pengerusi Bersatu berkata, pemilihan parti perlu dibuat segera kerana pemimpin yang menerajui parti ketika ini dibuat berdasarkan lantikan sejak Bersatu ditubuhkan pada tahun 2016.
Jelasnya, terdapat pemimpin yang dilantik oleh parti sebelum ini gagal memberi sumbangan sewajarnya.
“Kita berpendapat bahawa amat penting untuk kita adakan pemilihan parti lebih awal kerana kita dapati bahawa pentadbiran sekarang ini berasaskan kepada pemimpin yang dilantik.
“Kadang-kadang tidak berjaya untuk mengembangkan parti. Kita tidak tangguh pemilihan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) di Putrajaya, hari ini.
The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan Bersatu dijangka akan menangguhkan pemilihan parti itu menyelesaikan pendaftaran beberapa cawangan di seluruh negara bagi mengelakkan parti berdepan tindakan bubar oleh pendaftar pertubuhan (RoS).
Penangguhan pemilihan parti itu yang sepatutnya berlangsung tahun ini adalah bagi memastikan semua cawangan terlibat didaftarkan secara sah mengikut peruntukan Akta Pertubuhan 1966.
Difahamkan penangguhan itu sedang dipertimbangkan antara enam hingga 12 bulan. Namun, sumber secara khusus menyebut kemungkinan pemilihan parti tangguh sehingga 18 bulan.
Penangguhan itu perlu dibuat melalui pindaan perlembagaan kerana, tidak seperti parti politik lain, perlembagaan Bersatu tidak menyatakan ruang untuk pemilihan parti ditangguh.
Selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti pada 28 Mei lalu, Dr Mahathir mengumumkan parti akan mengadakan perhimpunan agung khas pada 20 Julai bagi meminda perlembagaan.
Setiausaha Bersatu Marzuki Yahya ketika dihubungi bagaimana pun enggan mengesahkan usaha penangguhan ini namun tidak menafikannya.
“Kita belum putuskan sama ada mahu tangguh pemilihan parti atau tidak,” kata Marzuki.
Bersatu yang bakal menyambut ulang tahun ketiga September ini belum mengadakan pemilihan sejak penubuhannya. – 27 Jun, 2019
Komen