Wan Ji dilantik pegawai penerangan kerajaan Pulau Pinang


Looi Sue-Chern

Wan Ji Wan Hussin mengangkat sumpah di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di Komtar hari ini. – Gambar Youtube, 28 September, 2017.

KERAJAAN negeri Pulau Pinang melantik pendakwah Wan Ji Wan Hussin sebagai pegawai penerangan untuk membantu Pakatan Harapan menangkis sebarang isu agama. 

Pendakwah yang berasal dari Kelantan itu ditugaskan untuk memberi penjelasan berhubung polisi kerajaan dan usaha kerajaan Pulau Pinang dalam memperkasakan agama Islam sebagai agama negeri, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng. 

Wan Ji, 35 tahun yang merupakan graduan Universiti Al-Azhar Mesir dalam Syariah Islamiyyah, mengangkat sumpah di pejabat Lim di Komtar hari ini. 

Lim berkata Wan Ji boleh bekerjasama dengan pegawai negeri yang lain seperti pegawai penerangan Zaidi Ahmad yang merupakan bekas mejar Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Penasihat strategik Saifuddin Nasution Ismail untuk menangkis sebarangan serangan ke atas kerajaan negeri itu membabitkan isu agama. 

“Kami dikritik dan dituduh sebagai anti-Cina oleh MCA apabila menyalurkan dana untuk pembangunan Islam. Kami turut dituduh sebagai anti-Islam bila memberikan dana kepada agama lain. 

“Inilah cabaran yang kami hadapi dalam berdepan dengan serangan cauvinis dan ekstrem daripada Barisan Nasional dan parti politik lain. 

“Ia satu tugas yang sukar, walaupun kami berlaku adil kepada semua. Kami bercakap berdasarkan fakta, dan kami berharap rakyat dapat menilai kebenaran,” katanya. 

Exco Hal Ehwal Agama Pulau Pinang Abdul Malik Abul Kassim berkata Wan Ji boleh membantu kerajaan negeri untuk menangkis propaganda terhadap pentadbiran dan memudahkan tugas untuk memperkasakan agama Islam di negeri ini. 

Saifuddin berkata, Wan Ji boleh memainkan peranan untuk menjelaskan kepada masyarakat Islam apa yang kerajaan negeri Pulau Pinang lakukan sejak 2008, khususnya membabitkan agama Islam di negeri ini. 

Katanya, pendakwah muda itu juga boleh menangkis sebarang tuduhan terhadap kerajaan negeri yang ditadbir oleh DAP. 

“Kami yakin kemampuannya untuk menjalankan tugas ini dengan baik, melihatkan kepada latar belakang pendidikannya, pengalamannya sebagai aktivis serta keaktifannya dalam badan bukan kerajaan.

“Beliau juga merupakan penulis yang baik dengan kemampuannya menghasilkan banyak buku. Beliau juga menulis buku mengenai maqasid syariah. Beliau merupakan aset yang penting kepada kerajaan negeri,” katanya.

Wan Ji yang juga merupakan bekas ahli majlis ulama PAS Selangor, berdasarkan pengajiannya, beliau melihat politik sebagai satu cara untuk membuat kebaikan kepada masyarakat, sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran. 

Beliau juga sedia maklum bahawa kerajaan Pulau Pinang telah melakukan banyak kebaikan kepada rakyat termasuk kepada masyarakat Islam, di bawah pakatan pembangkang. 

“Asas sebuah kerajaan adalah untuk berkhidmat kepada rakyat. Dalam erti kata lain politik adalah untuk berbuat kebaikan kepada rakyat.

“Saya tidak nafikan terdapat segelintir pihak yang mempergunakan sentimen agama dan perkauman untuk kepentingan sendiri. 
 
“Kita boleh lihat (kerajaan) Pulau Pinang telah membelanjakan banyak untuk pembangunan Islam. Musuh politiknya tidak sepatutnya menggunakannya untuk menyerang pentadbiran,” katanya. 
 
Di bawah PH, kerajaan Pulau Pinang telah membelanjakan RM457.05 juta untuk pembangunan hal ehwal Islam sejak 2008, berbanding RM249.09 juta yang dibelanjakan oleh BN dari 1999 hingga 2007. 

Untuk pendidikan Islam, kerajaan negeri membelanjakan RM57.64 juta kepada sekolah agama. BN membelanjakan RM20.11 juta dari 1999 hingga 2007.

Kerajaan negeri itu turut memberikan bantuan khas, bonus serta bayaran ex-gratia kepada guru agama berjumlah RM15.55 juta dan memberikan sebidang tanah di Jalan Scotland bernilai RM80 juta untuk membina bangunan baru kompleks Mahkamah Syariah. 

Di bawah Agenda Ekonomi Bersama negeri dari 2009 hingga April tahun ini, kerajaan tu membelanjakan RM23.65 juta kepada 1,461 penerima yang teridir daripada 80% masyarat Melayu. 

83% daripada 2,540 peminjam di bawah program pinjaman mikrokredit negeri, yang membelanjakan sebanyak RM11.71 juta, juga terdiri daripada masyaraat Melayu.  – 28 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen