PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi minta dibicarakan atas 33 lagi pertuduhan rasuah melibatkan suapan RM42.7 juta berhubung penganugerahan kontrak kepada Ultra Kirana Sdn Bhd untuk mengendalikan sistem visa luar negara (VLN).
Zahid kini berdepan keseluruhan 87 kes di mahkamah, termasuk tujuh kes rasuah yang dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam dan 47 kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram sebelum ini.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tenang semasa 33 pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Rozilah Salleh di Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Semua pertuduhan selesai dibaca dalam masa satu setengah jam.
Zahid didakwa 26 tuduhan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah kerana menerima suapan dan tujuh kes di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan bagi jenayah menerima hadiah berharga semasa menjadi penjawat awam.
Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM membawa hukuman mengikut Seksyen 24(1) akta sama, iaitu penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali jumlah suapan.
Seksyen 165 Kanun Keseksaan pula menetapkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya.
Beliau diwakili peguam Kitson Foong, Hamidi Mohd Noh, Rosal Azimin dan Mohd Shahril Madisa.
Manakala pihak pendakwaan diwakili Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar dan Zander Lim Wai Keong.
Zahid berdiri semasa pertuduhan dibacakan ke atasnya. Beliau bagaimanapun dibenarkan duduk selepas 15 minit ketika pertuduhan ke-11 dibacakan, atas pemintaan peguam belanya Ahmad Zaidi Zainal.
Hakim membenarkan Ahmad Zahid diikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Julai ini untuk sebutan semula kes.
Zahid ditemani antaranya oleh anak perempuan beliau Nurul Hidayah yang hadir bersama suami dan beberapa penyokong. – 27 Jun, 2019
Berita penuh di sini.
Komen