Ada pemimpin sengaja tak faham kesusahan rakyat, kata PM


Mohd Farhan Darwis

Ada pemimpin yang sengaja tidak faham kesusahan rakyat, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad malam ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 26 Jun, 2019.

ADA pemimpin yang tidak faham kehendak rakyat walaupun mereka sendiri “orang biasa”, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, pemimpin itu sengaja tidak mengambil peduli masalah dan kesusahan rakyat.

“Ada yang berhujah orang biasa yang menjadi pemimpin dikenali mengabaikan kesusahan rakyat biasa, tetapi itu bukan kerana dia tidak mengetahuinya, tetapi tidak ambil peduli,” katanya.

Tambahnya, situasi sama juga berlaku dalam kalangan pemimpin berketurunan bangsawan atau diraja yang tidak memahami kesusahan rakyat biasa.

“Salah satu aspek kepimpinan yang selalunya terlepas pandang adalah keupayaan merasai kesusahan rakyat bawahan.

“Kadangkala, apabila pemimpin berasal daripada keturunan bangsawan dan keturunan diraja, ada kecenderungan untuk tidak memahami kesusahan dialami rakyat biasa,” katanya, ketika berucap di program My Voice My Nation di Bukit Jalil, malam ini.

Beliau turut menjelaskan yang sehingga sekarang, beliau masih berpegang kepada keyakinan hanya kerja keras akan mengeluarkan seseorang daripada kemiskinan.

“Ketika saya masih remaja, ketika zaman pendudukan Jepun, dan sekolah ditutup sementara, saya menjual pisang goreng di Pekan Rabu, Alor Setar dan sambutannya menggalakkan, saya dapati, peluang sentiasa ada sekiranya kita bekerja keras.”

Pengerusi Bersatu itu berkata, prinsip dipegangnya sejak sekian lama mentadbir adalah memberikan bantuan kepada rakyat kerana tidak semua orang boleh berjaya dengan sendiri.

“Apabila saya berkuasa, saya sedar tidak semua orang berupaya mencari peluang dan kadang-kala, mereka yang berkuasa perlu memberikan bantuan untuk mereka mencari asasnya.

“Namun prinsipnya tetap sama, berikan mereka joran, dan bukannya ikan,” kata Dr Mahathir lagi. – 26 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen