Bekas menteri Argentina dibicarakan berhubung nahas kereta api 


Bekas Menteri Perancangan Bandar Argentina Julio De Vido gagal mengambil langkah sewajarnya berhubung masalah serius dengan infrastruktur sistem perkhidmatan kereta api berkenaan. – Gambar EPA, 28 September, 2017.

BEKAS Menteri Perancangan Bandar Argentina Julio De Vido dibicarakan di mahkamah pada Rabu atas dakwaan salah laku berhubung nahas kereta api pada 2012 yang mengorbankan 51 nyawa. 

De Vido yang kini anggota Kongres, menyandang jawatan berkenaan dari tahun 2003-2015.

Seorang daripada bekas pembantunya, Jorge Gustavo Simeonoff  juga merupakan defendan dalam kes itu.

Pada 22 Februari 2012, kereta api komuter dari laluan Sarmiento merempuh penghadang di stesen Buenos Aires menyebabkan 51 orang maut dan 700 yang lain cedera.

Pihak pendakwa mendapati De Vido menyedari terdapatnya masalah serius dengan infrastruktur sistem perkhidmatan kereta api berkenaan namun tidak mengambil sebarang langkah menanganinya.

Rangkaian perkhidmatan kereta api itu dikendalikan firma swasta, Trenes de Buenos Aires, di bawah konsesi kerajaan.

Selepas tragedi berkenaan Presiden ketika itu Cristina Kirchner mengambil alih pentadbiran semua laluan komuter Greater Buenos Aires.

Namun kebanyakan laluan diberikan semula kepada pengurusan swasta pada awal 2014 dengan peraturan lebih ketat manakala rangkaian perkhidmatan kereta api Sarmiento terus di bawah kendalian pihak berkuasa.

Pada Disember 2015, dua bekas setiausaha Kementerian Pengangkutan, Juan Pablo Schiavi dan Ricardo Jaime, dijatuhi hukuman penjara lapan tahun kerana didapati bersalah menyebabkan kemalangan itu. – Bernama, 28 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen