JABATAN Kimia Malaysia masih belum dapat mengenalpasti punca pencemaran udara yang menyebabkan masalah kesihatan pelajar sekolah di Pasir Gudang, kata Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin.
“Kami akan terus memeriksa sampel darah dan air kencing yang diambil daripada mangsa.
“Kami sudah meneliti semua kemungkinan bahan kimia yang boleh menyebabkan kejadian itu tetapi semua hasil ujian negatif,” katanya di Menara Aqabah di Pasir Gudang hari ini.
Pencemaran terbaru yang bermula sejak minggu lepas itu menyebabkan kerajaan mengarahkan semua institusi pendidikan di Pasir Gudang ditutup sehingga esok. Arahan itu dikeluarkan selepas lebih 300 pelajar sekolah menerima rawatan kerana masalah pernafasan dan muntah-muntah.
Pihak berkuasa negeri juga sedang memeriksa lebih 30 buah kilang di kawasan itu yang dipercayai jadi dalang pencemaran terbaru itu.
Yeo berkata mereka mengesyaki beberapa sumber pencemaran tetapi semuanya sudah dibersihkan sebelum kejadian dan ia mematuhi piawaian Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Tidak ada punca dan akibat untuk kata yang kejadian ini disebabkan udara dibebaskan dari kilang di sini.
“Dalam kes Sg Kim Kim, kita ada bukti fisiologikal yang ia disebabkan pencemaran.
“Sekarang kita tahu ada simptom, tetapi kita tak tahu bahan kimia mana menyebabkannya.
“Tetapi, kita akan terus memantau dan memastikan kilang tidak membebaskan udara bertoksik,” katanya.

Jelasnya, terdapat 2,005 buah kilang di Pasir Gudang, dan daripada jumlah itu, 250 buah adalah kilang kimia.
“Kerana kualiti udara di kawasan ini tidak baik, penduduk berdepan risiko.
“Kami juga akan mewujudkan stesen pemantauan pencemaran udara di Pasir Gudang tidak lama lagi supaya kami boleh bertindak pantas sekiranya ada kejadian (pencemaran).
“Kami juga akan meneliti untuk mewujudkan zon pemampan antara kilang dengan kawasan perumahan dan sekolah, ini akan dibincangkan nanti,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata tiada pesakit baharu dimasukkan ke hospital kerana kejadian terbaru ini.
“Hanya ada enam pesakit dalam wad. Sampel klinikal yang kami ambil daripada semua lapan pesakit semuanya (keputusan) negatif.
“Kami masih cari punca pencemaran. Berbanding Sg Kim Kim, kali ini berbeza.”
Ditanya tentang keselamatan pelajar untuk kembali ke sekolah, Khuzzan berkata sekolah akan dibuka semula pada Ahad ini.
“Kami akan terus memantau kualiti udara dalam jarak 15km dari sekolah.” – 26 Jun, 2019.
Komen