Penjelasan Lim Guan Eng mengenai pengambilalihan tol milik Gamuda


Smart Tunnel antara lebuh raya yang dalam cadangan diambil alih sepenuhnya oleh Putrajaya. – Gambar Facebook, 26 Jun, 2019.

PADA 22 Jun 2019, saya telah mengeluarkan kenyataan yang mengesahkan bahawa Kerajaan Persekutuan pada 21 Jun 2019 telah mengemukakan tawaran bersyarat, tertakluk kepada kelulusan Majlis Jemaah Menteri, untuk mengambil alih 4 lebuh raya – Kesas, LDP, Sprint dan Smart – dengan kos sebanyak RM6.2 bilion.

Saya telah menerangkan manfaat-manfaat pengambilalihan, termasuk penjimatan bayaran wang pampasan oleh pihak kerajaan berjumlah sekurang-kurangnya RM5.3 bilion, serta penjimatan bayaran tol oleh pengguna-pengguna lebuh  raya  sehingga RM180 juta setahun.

Pengguna-pengguna lebuh raya mendapat manfaat daripada membayar caj kesesakan, yang dikurangkan secara ketara daripada kadar tol semasa, yang menjimatkan sehingga RM180 juta setahun. Kerajaan secara prinsipnya akan memberikan diskaun sehingga 30% pada waktu luar puncak dan kadar percuma pada waktu bukan puncak.

Kos yang dicadangkan untuk pengambilalihan ini, iaitu RM6.2 bilion, akan dibiayai oleh terbitan bon, dan akan dibayar balik sepenuhnya daripada pungutan caj kesesakan.

Ini berbanding dengan kos pampasan sebanyak RM18 bilion yang perlu dibayar sekiranya kutipan tol dihentikan di lebuh raya-lebuh raya tersebut.

Akibat isu- isu yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu yang telah menyebabkan kekangan kewangan, Kerajaan Persekutuan tidak mampu membelanjakan RM18 bilion untuk tujuan ini.

Penerbitan bon RM6.2 bilion tanpa memerlukan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan merupakan penyelesaian “menang-menang” (win-win) kerana penjimatan bayaran pampasan sekurang-kurangnya RM5.3 bilion untuk membekukan kadar tol di 4 lebuh raya tersebut.

Jadual di bawah menunjukkan kos pampasan bagi setiap lebuh raya, berserta tarikh tamat konsesi, berbanding dengan kos pengambilalihan lebuh raya tersebut:

Lebuh Raya

Tarikh Tamat Konsesi

Penjimatan Bayaran Pampasan (RM ‘juta)

Pengambil-

alihan (RM ‘juta)

Kesas

2028*

1,083 – 1,194

1,377

LDP

2030

1,925 – 2,242

2,470

Sprint

2031-2034

1,572 – 2,040

1,984

Smart

2042

671 – 1,028

369

Jumlah

5,251 – 6,504

6,200

* setelah pelanjutan 5 tahun seperti termaktub dalam perjanjian konsesi Kesas yang diluluskan kerajaan terdahulu, untuk menampung kekurangan dalam sasaran pendapatan semasa.

Persoalan juga telah ditimbulkan tentang mengapa perlunya pengambilalihan konsesi-konsesi dengan nilai RM6.2 bilion diteruskan sedangkan perjanjian akan tamat dalam tempoh 9 hingga 23 tahun. Jelas sekali, kesan serta merta daripada keputusan ini ialah pengguna lebuh raya akan membayar caj kesesakan lebih rendah yang mampu memberi mereka penjimatan sebanyak RM180 juta setahun.

Tempoh konsesi akan tamat sepenuhnya

Kedua, tempoh konsesi tidak akan dilanjutkan tetapi akan tamat seperti yang termeterai dalam perjanjian konsesi sedia ada. Ketiga, setelah perjanjian tamat, caj kesesakan akan dikurangkan lagi bagi menampung kos operasi dan penyelenggaraan lebuh raya sahaja, tanpa mengandungi sebarang unsur keuntungan.

Tawaran bersyarat ini, apabila diluluskan oleh pemegang saham dan pemiutang 4 pemegang konsesi lebuh raya tersebut, masih tertakluk kepada kelulusan daripada Majlis Jemaah Menteri. Ini secara jelas dinyatakan dalam kenyataan saya pada   22 Jun 2019, setelah Majlis Jemaah Menteri telah meluluskan secara prinsip pada 27 Februari 2019, serta kelulusan YAB Perdana Menteri atas tawaran tersebut pada 20 Jun 2019.

Saya ingin menyatakan sekali lagi bahawa tawaran-tawaran tersebut, yang dibuat selepas melalui ketekunan wajar (due diligence) oleh perunding perbankan profesional, adalah sejajar dengan usaha memenuhi komitmen Kerajaan Pakatan Harapan seperti dinyatakan dalam manifesto pilihanrayanya, untuk mengambil alih konsesi lebuh raya dan beransur-ansur mengurangkan kadar tol, bagi meringankan beban yang dipikul rakyat. – 26 Jun, 2019.

*Lim Guan Eng adalah menteri kewangan Malaysia.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen