Buat apa kerajaan beli tol tamat tempoh, tanya senator


Senator Khairul Azwan Harun berkatanya tidak jelas bagaimana pengambilalihan empat lebuh raya milik Gamuda Berhad oleh kerajaan akan memberi keuntungan kepada rakyat. – Gambar Wikipedia, 25 Jun, 2019.

KEMENTERIAN Kewangan perlu menjelaskan apa kerajaan dapat dengan mengambil alih empat lebuh raya bertol milik Gamuda Berhad yang konsesinya akan berakhir lama lagi, tanya Senator Khairul Azwan Harun.

Katanya, tidak jelas bagaimana rakyat akan untung apabila kerajaan mengambil alih empat lebuh raya itu.

“Kalau ada pun, nampaknya seolah-olah Kementerian Kewangan yang diketuai DAP cuba memihak pada pemegang konsesi tol,” katanya dalam satu kenyataan media.

Khairul Azwan mengulas pengesahan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa Putrajaya membuat tawaran untuk mengambil alih empat lebuh raya tol milik Gamuda dengan kos RM6.2 bilion.

Empat lebuh raya itu ialah Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint) dan Terowong Smart.

Menurut Lim, pengambilalihan itu akan menjimatkan kerajaan RM5.3 bilion sebagai pampasan tidak menaikkan tol sekiranya konsesi berkenaan kekal kepada Gamuda.

Khairul Azwan dalam kenyataannya bagaimanapun mengingatkan laporan sebelum  ini bahawa LDP tidak lagi boleh menaikkan tol.

Beliau dipercayai merujuk pada kenyataan Lingkaran Trans Kota Holdings Berhad (Litrak) yang memegang konsesi bagi LDP dan Sprint pada Ogos 2017 bahawa tol berkenaan tidak lagi boleh dinaikkan selepas ini.

“Jadi agak mengelirukan apabila kerajaan cuba menggemparkan rakyat dengan mengatakan mereka mengambil alih konsesi itu untuk selamatkan rakyat daripada kadar tol yang lebih tinggi,” katanya.

Bekas naib ketua pemuda Umno itu juga bertanya apa strategik untuk kerajaan mengambil alih tol itu sekarang dengan kos RM2.47 bilion bagi LDP dan RM1.38 bilion untuk Kesas.

Kesas yang sepatutnya tamat pada 2023 dlanjutkan sehingga 18 Ogos 2028, sementara LDP dijadual tamat pada 14 Ogos 2030. 

The Malaysian Insight juga difahamkan Kesas hanya boleh menaikkan kadar tolnya hanya sekali saja lagi, pada kadar 20% daripada caj sedia ada atau bersamaan tidak lebih 50 sen.

Sprint pula dilaporkan selama ini menanggung beban kerugian sehingga lebih RM400 juta sejak beroperasi pada 1999. Sprint dijadual tamat secara berperingkat antara Disember 2031 dan Disember 2034.

Terowong Smart yang digunakan bagi menyurai air untuk mengelak banjir kilat dijadual pada pada 31 Disember 2042.

“Demi ketelusan saya harap menteri kewangan boleh beri justifikasi dan menggaris dengan terperinci kos yang membawa kepada jumlah besar RM6.2 bilion,” tambah Khairul Azwan.

Menurut Lim, tawaran kepada Gamuda dibuat melalui Syarikat Milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) atau MoF Inc iaitu RM1.377 bilion bagi Kesas, RM2.47 bilion bagi LDP, RM1.984 bilion bagi Sprint dan RM369 juta untuk Terowong Smart. 

Lim juga berkata tawaran itu tertakluk kepada kelulusan Jemaah Menteri selain penelitian wajar (due diligence) serta sokongan pemegang saham dan pemiutang syarikat konsesi.

Menteri Kerja Raya Baru Bian dalam reaksi segera terhadap kenyataan Lim bagaimanapun berkata sebarang cadangan pengambilalihan lebuh raya hanya akan diputuskan oleh Jemaah Menteri selepas mengambil kira hasil kajian dan syor daripada kementeriannya. – 25 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen