Teliti balik cadangan beli tol Gamuda, kata Kadir Jasin


Kerajaan Pakatan Harapan disaran lebih teliti menyemak cadangan pembelian aset lebuh raya Gamuda. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Jun, 2019.

PUTRAJAYA perlu menyemak semula tawaran Kementerian Kewangan mahu membeli empat lebuh raya bertol milik Gamuda Berhad, kata wartawan veteran A Kadir Jasin.

Katanya, tawaran itu tidak ubah seperti pembelian stesen jana kuasa yang hampir luput kontrak oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang sepatutnya dipulangkan semula kepada kerajaan secara percuma.

“Sekarang (stesen jana kuasa) itu sudah jadi milik China kerana 1MDB jual Edra kepada China pada bulan-bulan terakhir Barisan Nasional berkuasa.

“Pakatan Harapan harus lebih teliti menyemak cadangan pembelian aset lebuh raya Gamuda ini,” katanya dalam satu tulisan di Facebook, hari ini.

Pada Sabtu lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengesahkan pihaknya membuat tawaran untuk mengambil alih empat lebuh raya tol milik Gamuda Bhd dengan kos RM6.2 bilion.

Empat lebuh raya itu ialah Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint) dan Terowong Smart.

Menurut Lim, pengambilalihan itu akan menjimatkan kerajaan RM5.3 bilion sebagai pampasan tidak menaikkan tol sekiranya konsesi berkenaan kekal kepada Gamuda.

Kadir bagaimana mengingatkan tidak semua orang terima hujah Lim bahawa ia satu urus niaga yang akan menjimatkan duit kerajaan.

“Kalangan yang tidak begitu yakin mengatakan adalah lebih murah untuk membayar pampasan kepada Gamuda bagi tiada kutipan tol daripada membeli empat lebuh raya itu.

“Hujah mereka pampasan lebih rendah daripada harga belian yang dicadangkan – iaitu RM5.3 bilion berbanding RM6.2 bilion atau RM900 juta lebih murah.

“Dalam apa keadaan pun, lebuh raya itu akan kembali kepada kerajaan dalam tempoh 10 tahun apabila tempoh konsesi berakhir,” kata Kadir.

Menurut Lim, tawaran kepada Gamuda dibuat melalui Syarikat Milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) atau MoF Inc iaitu RM1.377 bilion bagi Kesas, RM2.47 bilion bagi LDP, RM1.984 bilion bagi Sprint dan RM369 juta untuk Terowong Smart.

Lim juga berkata tawaran itu tertakluk kepada kelulusan Jemaah Menteri selain penelitian wajar (due diligence) serta sokongan pemegang saham dan pemiutang syarikat konsesi.

Menteri Kerja Raya Baru Bian dalam reaksi segera terhadap kenyataan Lim bagaimanapun berkata sebarang cadangan pengambilalihan lebuh raya hanya akan diputuskan oleh Jemaah Menteri selepas mengambil kira hasil kajian dan syor daripada kementeriannya. – 25 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen