DUA pegawai kanan sebuah syarikat pengurusan sisa pepejal ditahan oleh agensi anti rasuah berhubung dakwaan pengagihan kontrak kepada kroni.
Ketua pegawai ekskutif syarikat itu yang berusia 50 tahun ditahan bersama pengurus kontrak dan perolehan, 34, selepas memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Alor Setar, semalam.
The Malaysian Insight difahamkan syarikat tersebut mengendalikan pengurusan sisa pepejal bagi Kedah dan Perlis.
Mereka diperintah oleh Mahkamah Majistret Alor Setar untuk ditahan reman empat hari bermula hari ini.
The Malaysian Insight difahamkan kegiatan mereka terbongkar selepas beberapa kontraktor membuat bantahan tidak puas hati dengan pengagihan kontrak yang didakwa diberikan kepada beberapa kroni CEO syarikat itu.
Menurut sumber, proses tender telah diseleweng sehingga menyebabkan beberapa syarikat yang tidak memenuhi syarat termasuk jumlah pekerja yang mencukupi dan memiliki lori telah diberikan kontrak.
Syarikat yang layak sebaliknya kemudian dilantik sebagai sub-kontraktor kepada syarikat yang terpilih itu, kata sumber.
The Malaysian Insight juga difahamkan oleh sumber bahawa projek pengurusan sisa pepejal di dua negeri itu berjumlah RM360 juta setahun.
“CEO dan beberapa pihak yang terlibat telah menubuhkan satu tabung kelab yang kononnya untuk menjaga kebajikan syarikat-syarikat yang terlibat.
“Semua kontraktor yang berjaya dalam tender diwajibkan untuk menyumbangkan 1 hingga 2 peratus daripada nilai projek ke dalam tabung ini,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.
Dalam tempoh setahun, sekurang-kurangnya RM3.6 juta duit daripada kontrak tersebut masuk ke tabung berkenaan.
“SPRM percaya tabung ini digunakan sebagai kaedah mengutip wang rasuah daripada kontraktor selain bertujuan bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Hasil risikan selama lebih 6 bulan mendapati tabung ini telah disalahgunakan untuk membeli harta, kenderaan dan lawatan peribadi ke luar negara,” katanya.
Siasatan dijalankan mengikut seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. – 25 Jun, 2019.
Komen