PAC siasat projek kereta terbang, sistem VEP


Khoo Gek San

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara menyiasat jika projek kereta terbang menggunakan dana kerajaan dan juga dakwaan salah laku projek Sistem tag Permit Kemasukan Kenderaan, kata timbalan pengerusinya, Wong Kah Woh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Jun, 2019.

JAWATANKUASA Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah memulakan siasatan ke atas sumber pembiayaan bagi projek “kereta terbang” Malaysia yang dicadangkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Yusof awal tahun ini.

Walaupun Redzuan mendakwa projek berkenaan tidak dibiaya oleh kerajaan, Timbalan Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata jawatankuasa itu kini sedang menyiasat sama ada wang rakyat digunakan.

“Kita nak siasat kalau projek kereta terbang ini guna dana kerajaan atau dana awam,” beliau memberitahu The Malaysian Insight.

Menurut Wong, Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Norazman Ayob juga telah dipanggil untuk menghadiri pendengaran PAC mengenai projek tersebut. Selain itu, beberapa individu lagi turut akan dipanggil.

Selepas projek kereta terbang didedahkan, Redzuan memberi jaminan bahawa kos RM8 juta untuk membangunkan prototaip kenderaan itu ditanggung sepenuhnya oleh swasta.

Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Yusof memberi jaminan bahawa kos RM8 juta untuk membangunkan prototaip kenderaan itu ditanggung sepenuhnya oleh swasta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Jun, 2019.

PAC juga sedang menyiapkan siasatan mengenai dakwaan salah laku dalam projek Sistem tag Permit Kemasukan Kenderaan (VEP), kata Wong.

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan, dalam Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2 dinyatakan bahawa projek sistem VEP antara Malaysia dan Singapura bernilai RM449.45 juta diberi melalui rundingan terus.

Kontrak diberi kepada TCSens, sebuah syarikat tidak berpengalaman dan mempunyai hanya RM35.54 dalam akaun, sedangkan syarat yang ditetapkan ialah RM2.3 juta.

PAC telah memanggil bekas menteri pengangkutan Liow Tiong Lai untuk memberi kenyataan berkenaan perkara itu.

“Kita kekurangan tenaga dan PAC berharap dapat selesaikan semua kes secepat yang mungkin,” kata Wong.

Jawatankuasa itu kini dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Parit Sulong (BN) Noraini Ahmad selepas penyandang sebelum ini, Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee keluar Umno dan masuk Bersatu.

Menurut Wong, enam bulan terakhir sebelum melepaskan jawatan, Kiandee menerajui PAC dengan baik dan kesemua ahli gigih menjalankan tugas dengan menjalankan sekurang-kurangnya 38 pendengaran, dan tahap ini masih kekal selepas Noraini mengambil alih tugas beliau. – 26 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen