Pertumbuhan KDNK bawah 5%, ramal badan pemikir


Chan Kok Leong

Kesan peningkatan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China mampu menjejaskan pertumbuhan dan perdagangan global termasuk Malaysia. – Gambar AFP, 24 Jun, 2019.

SEBUAH badan pemikir penyelidikan hari ini mengekalkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia antara 4.5%-4.7% untuk 2019, di bawah 5% sebagaimana diunjurkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Lee Heng Guie, pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Sosioekonomi (SERC), berkata unjurannya berdasarkan penguncupan dalam eksport dan penurunan jumlah pelaburan swasta serta ketidakpastian berterusan dalam ketegangan perdagangan global.

Beliau berkata demikian sebagai respons kenyataan Dr Mahathir bahawa Malaysia boleh mencapai pertumbuhan KDNK di atas 5% tahun ini walaupun unjuran kerajaan semasa adalah antara 4.8% hingga 4.9%.

“Suku pertama hanya 4.5%, jadi ia akan menjadi sesuatu yang mencabar untuk mencapai 5%,” kata Lee pada taklimat media hari ini.

“Pengembangan berterusan dalam permintaan domestik dan pertumbuhan eksport yang sederhana akan terus menyokong keseluruhan ekonomi.

“Tetapi risiko penurunan masih berlaku, terutamanya kesan peningkatan ketegangan perdagangan yang mampu menjejaskan pertumbuhan dan perdagangan global,” katanya.

Lee berkata prestasi ekonomi negara akan bergantung kepada perbincangan perdagangan G20 antara Presiden AS Donald Trump dan Presiden Xi Jinping di Osaka, Jepun dari 28 hingga 29 Jun. – 24 Jun, 2019.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen