Mungkin Umno kekal sama sahaja


SAYA menyambut baik kenyataan balas Pemangku Presiden Umno Mohamad Hasan terhadap saranan saya agar parti memulangkan semula dana yang dikatakan diterima daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Cadangan tersebut dibuat memandangkan Mohamad mempunyai ketokohan tersendiri dan mengambil peluang keemasan ini untuk meletakkan pemulihan Umno di landasan terbaik.

Apalah nak dibandingkan dengan saya sebagai seorang anak muda yang baru dalam politik dan hanyalah ahli Parlimen biasa.

Namun, hujah beliau tidak konsisten.

Sebelum ini alasannya adalah wang yang diterima sekiranya benar daripada 1MDB sudah dibelanjakan dan yang tinggal sekarang wang yang “bersih”.

Sekarang, alasannya dana Umno sudah dibekukan maka tidak boleh dipulangkan balik.

Apakah dalih seterusnya kita pun kurang pasti.

Namun, saya hargai komitmen beliau untuk menghormati proses undang-undang.

Kes 1MDB ini bukan hanya disiasat di Malaysia, tetapi tindakan mahkamah juga diambil di peringkat antarabangsa.

Ketika Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dalam proses mendapatkan semula aset 1MDB, selebriti seperti Leonardo Di Caprio dan Miranda Kerr telah bertindak memulangkan barang yang dipercayai dibeli menggunakan dana 1MDB terlebih dahulu.

Mereka tetap beri kerjasama kepada Jabatan Kehakiman untuk memberikan keterangan dan sebagainya tetapi memilih jalan yang lebih berani untuk membersihkan nama dengan bertindak terlebih dahulu.

Mungkin mereka sedar dana tersebut adalah wang rakyat dan mereka langsung tidak mahu terpalit atau bersubahat walaupun sebagai penerima sumber haram.

Adakah kita boleh mengharapkan integriti dan etika yang sama?

Mungkin kita kena faham bebanan dan cabaran Mohamad untuk memulihkan Umno.

Walaupun beliau ada potensi, yang lain-lain belum tentu lagi.

Sekiranya kepimpinan beliau masih terus dibayangi oleh pengaruh Najib Razak, bagaimana Umno boleh berubah?

Mohamad mungkin ada ketokohan, tetapi pendekatan jalan selamat akan menyebabkan Umno akan kekal sama sahaja.

Cuma saya mengharapkan kerajaan akan berjaya mendapatkan balik dana 1MDB dan dipulangkan kembali kepada rakyat Malaysia. – 24 Jun, 2019.

* Akmal Nasir adalah ahli Parlimen Johor Bahru dan ketua AMK PKR.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen