PRESIDEN Rusia Vladimir Putin mengumumkan negara itu akan memusnahkan senjata kimia terakhirnya dan menyifatkan tindakan itu sebagai “acara bersejarah” serta menuduh Amerika Syarikat tidak mengikut jejak langkahnya.
“Hari ini senjata kimia daripada Rusia yang merupakan stok terakhir akan dimusnahkan,” kata Putin dalam satu kenyataan yang disiarkan di televisyen.
“Ini merupakan acara bersejarah, dengan jumlah besar yang diwarisi daripada zaman Soviet ianya cukup - menurut pakar - untuk memusnahkan semua benda hidup berkali-kali,” katanya.
“Langkah yang besar ini akan menjadikan dunia ini lebih seimbang dan selamat.”
Presiden Rusia turut menyindir Washington dan menyatakan Amerika Syarikat tidak menjalankan tanggungjawab di peringkat antarabangsa sepenuhnya.
“Malangnya Amerika Syarikat tidak melaksanakan tanggungjawabnya apabila ia menangguhkan untuk memusnahkan senjata kimia - mereka menolaknya tiga kali,” kata Putin memetik laporan agensi berita Rusia.
Putin berkata Washington telah menangguhkan rancangannya untuk memusnahkan senjata kimianya dengan memberi alasan tidak cukup dana, yang menurut Putin “ia sesuatu yang agak pelik”.
“Baiklah, kita jangkakan Amerika Syarikat akan menjalankan tanggungjawabnya sebagai sebahagian daripada perjanjian antarabangsa sama seperti yang dilakukan negara lain,” tambahnya. – AFP, 27 September, 2017.
Komen