Umno tubuh parti baharu? Zahid serah pada Mat Hasan


SM Amin

Ahmad Zahid Hamidi enggan mengulas ura-ura untuk menubuhkan parti baharu sekiranya Umno dibubarkan ekoran saman sivil yang difailkan untuk melucutkan hak aset parti berkenaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Jun, 2019.

AHMAD Zahid Hamidi enggan mengulas ura-ura untuk menubuhkan parti baharu sekiranya Umno dibubarkan ekoran saman sivil yang difailkan untuk melucutkan hak aset parti berkenaan.

Beliau sebaliknya menyerahkan kepada perkara itu untuk ditangani  Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan yang menjalankan tugas presiden.

“Tanya dengan orang yang menjalankan tugas-tugas presiden,” katanya ringkas kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Masjid Tanah, hari ini.

Cadangan itu ditimbulkan semalam dari Umno Johor ekoran saman yang difailkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendapatkan semula dana dari 1MDB.

Pengerusi Umno Johor, Hasni Mohammad berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk menubuhkan parti politik baharu atau menyertai parti politik sedia ada sekiranya Umno dibubarkan.

Ia susulan daripada pengumuman SPRM pada Jumaat lalu yang mengumumkan telah memfailkan permohonan melucut hak di bawah Seksyen 56 Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.

Ia difailkan  terhadap 41 responden termasuk Umno Selangor, Pahang, Kedah, Johor, Sabah dan Kelantan yang didakwa antara penerima wang berjumlah lebih RM270 juta itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata permohonan yang difailkan pada Rabu lalu itu bagi mendapatkan semula wang dipercayai dipindahkan dari satu akaun Ambank Najib Razak.

Hasni yang menyifatkan tindakan SPRM membuat permohonan lucut harta sebagai satu bentuk penyalahgunaan kuasa berkata tiga juga ahli Umno tidak akan dibiarkan tanpa parti.

Antara cadangan yang dipertimbang adalah menubuhkan parti baharu atau menyertai parti sedia yang bukan parti daripada kerajaan sedia ada, ujarnya. – 23 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen