TINDAKAN pemimpin Umno yang belot demi kepentingan peribadi selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sukar dimaafkan, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Zahid berkata, golongan itu tidak harus diberi muka lagi kerana pengkhianatan itu bukan sahaja terhadap Umno tetapi juga ke atas bangsa Melayu dan agama Islam.
“Apabila terdapat pisau yang bengkok melupakan sarung, sarung itu sudah terluka. Pisau yang bengkok itu mesti digantikan dengan pisau yang lurus. Orang seperti ini jangan diberikan muka langsung.
“Mereka yang selama ini mengecap pelbagai kesenangan ketika bersama Umno, kini sanggup meludah ke muka anak bangsa demi menyelamatkan diri sendiri,” katanya.
Ucapan itu ditujukan kepada Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin, dalam ucapan ketika merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian tersebut hari ini.
Menurut Zahid, Bahagian Masjid Tanah seharusnya menjadi model contoh apabila berjaya memenangi kesemua enam kerusi yang dipertandingkan termasuk satu kerusi Parlimen.
Namun kata Zahid, ianya telah dicemarkan dengan tindakan Ermieyati yang keluar parti dan kemudiannnya menyertai Bersatu.
“Ini kesalahan mereka terhadap bangsa sendiri, khianat terhadap amanah dan kepercayaan pengundi serta pengkhianatan terhadap parti.
“Inilah antara nama-nama yang akan terpahat di dalam sejarah hitam orang Melayu sampai bila-bila,” katanya.
Bekas ketua Puteri Umno itu keluar Umno sehari selepas pemilihan parti selesai tahun lalu.
Jelasnya, beliau bertindak demikian kerana melihat Umno masih tidak berubah memandangkan jawatan utama parti itu masih dimenangi orang lama. – 23 Jun, 2019.
Komen