SELEPAS mendakwa Sarawak bakal muflis dalam tiga tahun lagi, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng terus dikecam, kali ini disamakan dengan Taju Remaong oleh Timbalan Ketua Menteri Douglas Uggah.
Taju Remaong adalah binatang mistik dalam cerita legenda Iban yang memerangkap mangsa sebelum membunuhnya.
Binatang itu memperdaya mangsanya dengan meletakkan pelbagai barangan berharga dalam hutan sebelum menangkap dan membunuh mereka.
Uggah menggunakan legenda itu untuk membantu penduduk Rumah Miekle Ding di Sebaoh, Bintulu memahami niat Lim.
Beliau hadir dalam majlis “ngiling tikai” (gulung tikar) Gawai penduduk tersebut, di hadapan hampir 1,000 orang yang hadir, beliau memberitahu yang tuduhan Lim bahawa Sarawak akan jatuh muflis kerana belanjawan tinggi sama seperti jerat dalam legenda itu.
Majlis ngiling tikai yang menandakan tamatnya pesta gawai itu dianjurkan bersama oleh Asean Bintulu Fertilizer Sdn. Bhd, Malaysia LNG Group of Companies, Petronas Carigali Sdn Bhd, Sarawak Gas dan Petronas Group of Procurement Sarawak.
“Samalah seperti kes Guan Eng. Dia letak jerat dengan tuduhan muflisnya.
“Jika orang Sarawak percaya kepadanya, hancur kita,” kata Unggah.
Lim yang juga menteri kewangan sebelum ini berkata yang Sarawak akan muflis dalam tiga tahun lag jika mengikuti belanjawan dibuat Gabungan Parti Sarawak. – 23 Jun, 2019.
Komen