Uber disaman pemandu Britain


Uber kini berdepan kes pemandunya meminta hak asas pekerja seperti persekitaran kerja yang baik dan gaji minimum. – Gambar EPA, 27 September, 2017.

UBER merayu kepada tribunal pekerjaan Britain hari ini menentang penghakiman yang memberikan pemandunya status pekerja rasmi ketika syarikat itu juga menentang ancaman pengharaman di London.

Kes itu dibawa oleh dua pemandu Uber boleh membawa kesan besar kepada mereka yang bekerja dalam “ekonomi gig” Britain yang ramai merugut mengenai persekitaran kerja yang buruk dan upah yang rendah.

Aplikasi pengangkutan berasal dari AS itu mungkin terpaksa membayar gaji minimum £7.50 (RM42.48) sejam kepada pemandunya jika kalah kes itu.

Pemandu Uber kini dibayar mengikut perjalanan dan dianggap bekerja sendiri, yang bermaksud mereka tidak layak menerima manfaat pekerjaan termasuklah cuti berbayar.

Penghakiman kes itu dijangka mengambil masa berminggu lamanya.

Kesatuan buruh Pekerja Bebas Britain (IWGB) mewakili pemandu itu dan mengadakan demonstrasi di tengah London.

Pihak berkuasa pengangkutan minggu lepas berkata mereka tidak akan memperbaharui lesen Uber untuk beroperasi di London kerana kebimbangan keselamatan awam untuk penumpang dan proses pendaftaran pemandu.

Uber yang mempunyai 40,000 pemandu dan 3.5 juta pengguna di London itu mempunyai tempoh 21 hari untuk merayu dan boleh beroperasi sehingga proses itu dimuktamadkan.

Menambah kemelut Uber di London, syarikat itu juga berdepan dengan kes diskriminasi seksual daripada seorang pemandu wanita berusia 44 tahun yang juga dibawa ke tribunal itu.

Dakwanya, cara syarikat itu beroperasi meletakkan pemandu wanita dalam bahaya. – AFP, 27 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen