Zahid dakwa Pakatan mahu pecah kerusi Parlimen bandar untuk DAP


SM Amin

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamid mendakwa kerajaan mahu meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menambah kerusi parlimen di kawasan bandar yang mempunyai lebih 100,000 pengundi.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 22 Jun, 2019

PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang pertama kali muncul di majlis rasmi parti sejak Disember lalu, menuduh kerajaan mahu menambah jumlah kerusi parlimen di kawasan bandar untuk manfaat DAP melalui konsep Malaysian Malaysia.

Beliau mendakwa kerajaan mahu meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menambah kerusi parlimen di kawasan bandar yang mempunyai lebih 100,000 pengundi pada sidang Dewan Rakyat yang dijadual bermula 1 Julai ini.

“Kita tahu bahawa ada cadangan di dalam persidangan Dewan Rakyat Julai nanti untuk meminda perlembagaan bagi menambah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

“Mungkin ada cadangan kawasan-kawasan yang mempunyai jumlah pengundi melebihi 100 ribu, akan ada pertambahan kerusi. Kerusi-kerusi ini di kawasan bandar.

“Siapakah yang menjadi ahli-ahli Parlimen kawasan bandar… tentulah parti DAP. Ertinya DAP akan menambah ahli-ahli Parlimennya,” katanya berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kepong di Pusat Konvensyen Ideal Selayang di Batu Caves, hari ini.

Selain kemunculan pertama, ini juga adalah ucapan pertama Zahid kepada Umno sejak mengumumkan menyerah tugas presiden kepada timbalannya Mohamad Hasan pada 18 Disember lalu.

Pada Februari lalu, Zahid pernah muncul di program bersama Umno dan PAS di Bagan Datuk, Perak, yang beliau sifatkan sebahagian tugasnya sebagai Ketua Bahagian Umno dan Ahli Parlimen kawasan itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini berkata ia sedang mengkaji sama ada Parlimen boleh atau tidak membatalkan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dibuat semasa pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, sekiranya dibolehkan, kerajaan nanti boleh membuat persempadanan semula yang baharu sebelum pilihan raya umum akan datang.

Mengulas lanjut dakwaannya, Zahid berkata pecahan kawasan parlimen di bandar untuk mewujudkan kawasan parlimen baharu adalah ancaman kepada orang Melayu-Islam dan penduduk luar bandar kerana pembahagian kerusi dibuat mengikut demografi yang tidak sekata.

Dalam ucapannya, Zahid juga mengulangi retorik orang Melayu-Islam terancam kerana DAP menguasai kerajaan termasuk Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng adalah menteri kewangan.

“Kita lihat apa yang sedang dirancang oleh mereka, pelbagai kerenah yang sedang berlaku… yang dilakukan atas konsep Malaysian Malaysia.

“Kita tahu DAP di belakangnya, apatah lagi menteri kewangan dipegang oleh mereka,” katanya.

Daripada 222 kerusi Parlimen, terdapat 155 kerusi luar bandar yang dikuasai kaum Melayu dan Bumiputera di mana 117 kerusi daripadanya terletak di Semenanjung berikutan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dibuat sebelum PRU14.

Pengkritik sistem pilihan raya Malaysia selama ini mempertikaikan pembahagian kerusi yang tidak seimbang sehingga menyebabkan ada kawasan yang mempunyai pengundi begitu ramai.

Sebagai perbandingan, kawasan Parlimen Bangi mempunyai pengundi paling ramai di Malaysia mencecah lebih 178,000 pengundi, empat kali ganda lebih besar daripada Sabak Bernam yang mempunyai lebih 40,000 pengundi.

Beberapa kawasan lain dengan jumlah pengundi besar termasuk Damansara (dulu Petaling Jaya Utara) dengan 164,000 pengundi, sementara Klang dan Kota Raja masing-masing mempunyai lebih 149,000 pengundi. – 22 Jun, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen