UMNO menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan tugasnya berhubung dakwaan penyelewengan wang 1MDB yang dikaitkan dengan parti itu.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya tidak mahu menghalang tugas SPRM berhubung dakwaan salah guna dana.
“Biarlah dia menjalankan tugas yang dia patut buat,” katanya kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kepong di Pusat Konvensyen Ideal Selayang di Batu Caves, hari ini.
Semalam, SPRM memfailkan permohonan untuk mendapatkan semula RM270 juta yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada 41 individu, pertubuhan dan syarikat.
Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata permohonan yang difailkan pada Rabu lalu itu bagi mendapatkan semula wang berkenaan yang dipercayai dipindahkan dari satu akaun Ambank bekas perdana menteri, Najib Razak.
Agensi anti rasuah itu turut menyenaraikan enam badan perhubungan Umno negeri iaitu Kelantan, Selangor, Kedah, Pahang, Johor dan Sabah, serta dua Umno bahagian iaitu Pekan dan Johor Bahru. – 22 Jun, 2019
Komen